redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kubang Pasu: Dalam usia 38 tahun, lelaki ini membuktikan tiada yang mustahil kerana sudah memiliki lapan kelulusan di peringkat pengajian tinggi.
Lebih mengagumkan, Dr Mohd Alif Jasni dapat menyempurnakan kesemua pengajiannya walaupun berjuang melawan penyakit Arnold Chiari Malformation (ACM) ( kelainan struktur di mana bahagian belakang otak kecil (serebelum) menonjol atau turun ke saluran tulang belakang) sejak berusia 21 tahun.
Bermula dengan memiliki kelulusan Asasi Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2007, Dr Mohd Alif Jasni, 38, meneruskan pengajian hingga Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di UKM (2010), Ijazah Sarjana Antarabangsa Pengajian ASEAN Universiti Malaya (2012), Ijazah Sarjana Keadilan Jenayah UM (2014) seterusnya Ijazah Sarjana Komunikasi dan Pengajian Media UiTM (2017).
Tidak terhenti di situ, Mohd Alif meneruskan lagi pengajian hingga menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Keadilan Jenayah di UM pada 2018 diikuti Diploma Pascasiswazah Pembelajaran dan Pengajaran Pendidikan Tinggi (PGDHELT) (2021) di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Phd Kerja Sosial di UKM tiga tahun lalu.
Berkongsi kisahnya, Mohd Alif yang kini bertugas sebagai pensyarah kanan di UUM berkata, dia bukanlah pelajar cemerlang di sekolah pada awalnya namun sangat mencintai ilmu.
Lantaran itu, Mohd Alif berusaha menyambung pengajian malah tidak jemu melangkah ke menara gading sejak meninggalkan alam persekolahan kerana menganggap pelajaran sebagai batu loncatan untuk meningkatkan taraf hidup.
“Keputusan peperiksaan pun sederhana saja cuma konsisten dan saya pula jenis yang tak mudah putus asa.
“Jadi selepas tamat sekolah menengah, saya menyambung pengajian dalam Asasi Undang-Undang di UiTM dan itu langkah pertama saya dalam mengejar impian serta membina masa depan.
“Tamat pengajian asasi, saya sambung pengajian ke peringkat ijazah pula dan dorongan utama saya untuk terus belajar datang daripada minat malah percaya ilmu itu pelaburan jangka panjang, dan setiap bidang yang saya pelajari membuka peluang baru dalam kehidupan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Mohd Alif, perjalanannya tidak mudah kerana selain masalah kesihatan, dia berdepan cabaran kewangan.
Bagaimanapun, Mohd Alif bersyukur kerana ada keluarga terutama ibu, Rusnah Abd Mutalib, 64, juga Allahyarham bapa, Jasni Jaafar yang bukan hanya membantu daripada segi kewangan namun tidak henti memberi sokongan moral.
“Ikutkan, saya masih berjuang melawan penyakit kerana simptom masih ada walaupun sudah menjalani pembedahan hingga hampir setiap masa menahan sakit, kebas dan lemah pada kiri badan.
“Tapi saya kuatkan diri dan disebabkan nak sangat belajar, saya sanggup melakukan kerja sambilan bagi membayar yuran pengajian sebagai ikhtiar walaupun terima pinjaman serta biasiswa,” katanya.
Meskipun mempunyai kelulusan tinggi, Mohd Alif mengakui tidak mudah mendapat pekerjaan dan pernah berada dalam fasa patah semangat.
“Saya pernah menghadiri banyak temu duga dan ada yang tidak berjaya kerana dianggap melebihi kelayakan.
“Waktu itu, saya memang kecewa dan keliru dengan hala tuju malah menganggap ia sebagai titik terendah dalam hidup kerana sudah belajar tinggi tetapi peluang kerja tidak seiring.
“Tapi pengalaman itu mengajar saya untuk lebih sabar dan fleksibel dalam merancang kerjaya.
“Demi kelangsungan hidup, saya pernah cuba berniaga dengan menjual minuman tapi tak bertahan sebab persaingan namun perniagaan banyak mengajar saya dalam berdepan risiko, pengurusan kewangan, serta komunikasi dengan pelanggan. Ia juga membentuk saya menjadi seorang yang lebih berdikari,” katanya.
Di sebalik ujian itu, Mohd Alif bersyukur kerana berpeluang menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD dalam keadaan dirinya yang bertarung dengan kesakitan.
Niatnya menggenggam PhD bukan kerana mahu menunjuk kehebatan namun menyumbang semula kepada masyarakat melalui penyelidikan serta menjadi pakar dalam bidang dipelajari.
“Cuma tak semua yang senang dengan kita kerana ada orang cakap usaha saya sia-sia kerana terlalu lama belajar.
“Tapi saya percaya setiap perjalanan itu berbeza dan paling mengguris hati apabila ada yang kata saya tak akan dapat kerja baik jika masih gagal pada usia 30.
“Hakikatnya, Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik dan perjalanan kita mungkin lambat tapi selagi tak berhenti, kita tetap bergerak ke hadapan.
“Pegangan saya adalah usaha tidak akan mengkhianati hasil jadi kepada mereka yang mempunyai impian sama, jangan takut untuk bermula dan usah cepat putus asa
© New Straits Times Press (M) Bhd




