Tindakan Salah dedah krisis besar Liverpool – Gerrard

Tindakan Salah dedah krisis besar Liverpool – Gerrard

LEGENDA Liverpool, Steven Gerrard melontarkan kritikan pedas terhadap keadaan semasa kelab itu apabila menyifatkan identiti Liverpool sudah hilang susulan musim hambar di bawah kendalian Arne Slot.

Kenyataan bekas kapten The Reds itu hadir sebagai reaksi terhadap hantaran media sosial yang dibuat bintang sensasi kelab, Mohamed Salah yang didakwa memberi gambaran wujud masalah besar dalam kem Liverpool ketika ini.

Menurut Gerrard, tindakan Salah bersuara selepas kekalahan teruk di Villa Park jelas menunjukkan suasana dalam bilik persalinan Liverpool kini berada dalam keadaan tidak harmoni.

“Wow. Dengar sini, ini sangat menarik. Mohamed Salah jarang bercakap, dia juga jarang membuat hantaran di media sosial dan lebih-lebih lagi tidak pernah menulis seperti itu.

“Jadi saya fikir dia sedang menghantar mesej kepada dunia luar bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam bilik persalinan Liverpool. Identiti pasukan sudah hilang dan ia benar-benar menyakitkan dirinya untuk melihat keadaan itu dengan mata sendiri,” katanya kepada TNT Sports.

Kenyataan Salah itu dianggap signifikan memandangkan Liverpool sedang melalui krisis prestasi apabila kekalahan kepada Aston Villa menjadi kekalahan ke-12 mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Situasi tersebut sekali gus meletakkan musim ini sebagai antara kempen mempertahankan kejuaraan paling buruk dalam sejarah moden liga.

Dalam masa sama, seruan Salah agar Liverpool kembali kepada identiti ‘heavy metal football’ era Jurgen Klopp turut dilihat seolah-olah mempertikaikan kesesuaian falsafah permainan Arne Slot yang lebih berasaskan penguasaan bola.

Gerrard turut mengakui terkejut dengan masa kenyataan itu dibuat memandangkan Salah bakal meninggalkan Liverpool tidak lama lagi.

“Saya terkejut dengan waktunya. Tinggal satu lagi perlawanan dan itu adalah aksi terakhirnya bersama Liverpool.

“Dia jarang bercakap kepada media. Kebelakangan ini dia mula memberikan temu bual kerana bakal menutup tirai karier hebatnya bersama Liverpool.

“Tetapi kenyataan itu agak keras terhadap pengurus dan barisan kejurulatihan Liverpool tentang keadaan sebenar pasukan ini. Itu pandangan saya,” katanya.

Tambah Gerrard, prestasi Liverpool ketika tewas kepada Aston Villa amat mengecewakan sehingga beliau sendiri sukar menerima apa yang disaksikan.

“Perkataan ‘runtuh’ itu sangat kuat. Tekanan kini berada di atas pemain dan juga pengurus kerana prestasi mereka langsung tidak cukup baik.

“Persembahan malam tadi sangat teruk, sukar ditonton dari awal hingga akhir dan ia benar-benar menyakitkan saya melihat Liverpool bermain seperti itu. Saya jarang berkata begini,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Salah bercakap bagi pihak dirinya sendiri atau mewakili suara majoriti pemain dalam pasukan.

“Ini pelik dan luar biasa bagi Mohamed Salah. Saya sangat menantikan apa yang akan berlaku dalam beberapa hari lagi kerana situasi seperti ini jarang berlaku kepada pemain Liverpool dan juga Salah sendiri,” katanya.

Scroll to Top