
Pihak berkuasa kecemasan, bomba dan polis sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Foto: Agensi
NANNING – Gempa bumi bermagnitud 5.2 melanda Liuzhou, sebuah bandar di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China tengah malam Isnin, menyebabkan tiga orang hilang manakala empat lagi dimasukkan ke hospital, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Pusat gempa bumi itu dikesan berlaku di daerah Liunan pada 12.21 tengah malam dengan kedalaman lapan kilometer, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC).
Pihak berkuasa kecemasan, bomba dan polis sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Ibu pejabat bantuan gempa bumi wilayah Guangxi melancarkan respons kecemasan Tahap III pada jam 2 pagi.
Pejabat ibu pejabat bantuan gempa bumi Majlis Negara dan Kementerian Pengurusan Kecemasan mengaktifkan respons kecemasan Tahap IV pada Isnin serta menghantar satu pasukan kerja ke kawasan terjejas bagi menyokong usaha bantuan gempa bumi tempatan.
Pihak berkuasa tempatan diarahkan mengesahkan jumlah korban dan kerosakan secepat mungkin, mengatur operasi mencari dan menyelamat, memindahkan penduduk yang terjejas serta memantau gegaran susulan.
Sebanyak 51 kenderaan bomba dan penyelamat serta 315 anggota telah dihantar ke kawasan yang terjejas akibat gempa bumi itu.
Pentadbiran Gempa Bumi China turut mengaktifkan respons kecemasan Tahap III susulan gempa bumi berkenaan. – Bernama-Xinhua



