Keputusan Zizie Izette dilepaskan, disabitkan 3 pertuduhan subahat rasuah RM2.8 juta diketahui 20 Julai ini

Keputusan Zizie Izette dilepaskan, disabitkan 3 pertuduhan subahat rasuah RM2.8 juta diketahui 20 Julai ini

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Keputusan sama ada Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan dilepaskan atau disabitkan terhadap tiga pertuduhan subahat rasuah berjumlah RM2.8 juta akan diketahui pada 20 Julai depan.

Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen, di sini, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan yang dikemukakan pasukan pembelaan dan pendakwaan hari ini.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Seri K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd Zamri.

Mahkamah turut mengarahkan pihak memfailkan hujahan tambahan sebelum atau pada 9 Julai ini sebelum tarikh keputusan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada Madhi Abdul Hamid.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, yang kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.

Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama.

Ketiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, di sini, pada 12 Jun dan 19 Jun 2015.

Kesemua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen, di sini, melepaskan dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Bung Moktar yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top