
Rafizi dan Nik Nazmi secara rasmi telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat.
SHAH ALAM – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad secara rasmi telah menghantar surat pemakluman peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin.
Menurut mereka, keputusan itu dibuat susulan hasrat untuk meneroka agenda politik baharu, selain akan kembali bertanding di kedua-dua kerusi tersebut menggunakan platform Parti Bersama Malaysia pada pilihan raya akan datang.
“Langkah yang tepat dan terhormat adalah memulangkan kembali mandat itu kepada pengundi-pengundi di parlimen Pandan dan Setiawangsa, memandangkan kami dipilih di atas tiket Pakatan Harapan (PH) dalam pilihanraya umum yang lepas.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi Pandan dan Setiawangsa yang telah memilih kami mewakili mereka di Parlimen untuk dua penggal,” kata mereka dalam kenyataan bersama pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, kongsi Rafizi dan Nik Nazmi, pusat khidmat mereka akan beroperasi seperti biasa untuk terus memberi bantuan dan khidmat kepada pengundi.
Sebelum ini, kedua-dua mereka menerusi surat berasingan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa serta-merta pada 18 Mei 2026.
Rafizi dalam suratnya memaklumkan, beliau meletakkan jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan secara sukarela bagi memenuhi keperluan Perlembagaan Malaysia supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan seluruh kakitangan Parlimen sepanjang dua penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.
Nik Nazmi pula dalam surat peletakan jawatannya turut memberitahu pengosongan kerusi Parlimen Setiawangsa dibuat selaras Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama diberikan sepanjang beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dari 2018 hingga 2026.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seterusnya akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa pada Isnin.
Kedua-dua bekas menteri tersebut untuk mengesahkan bahawa mereka akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia (MU) yang didaftarkan pada 2 Disember 2016.



