am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi pengalaman menjayakan siaran langsung dari puncak Merdeka 118 bersama rakan penyampai Bekpes Hot iaitu Khairy Jamaluddin (KJ), Johan dan AG, hari ini.
Fara berkata, pengalaman berada di bangunan kedua tertinggi dunia itu bukan sekadar cabaran ekstrem, sebaliknya momen yang mengeratkan hubungan mereka sebagai satu pasukan.
“Saya rasa ini semua sebab ‘bonding’ kami. Saya sudah ke udara dengan ramai pasangan penyampai lelaki sejak 2006, tapi bila bersama KJ, Johan dan AG, saya rasa ada masanya saya kena jaga mereka.
“Bukan senang nak jaga tiga abang ini, tapi dalam masa sama saya tahu mereka pun sangat menjaga saya,” katanya.
Menurut Fara, pengalaman itu membuatkan dirinya lebih menghargai hubungan yang terjalin sepanjang bersama Bekpes Hot.
“Saya terfikir tadi, saya harap ini bukan yang terakhir sebab kita tahu semua benda akan berakhir suatu hari nanti. Saya rasa itu yang buat saya mudah tersentuh,” katanya.
Terdahulu, Bekpes Hot mencipta sejarah apabila melakukan siaran luar secara langsung dari Merdeka 118 bermula jam 7 pagi hingga 10 pagi.
Misi itu turut menerima pengiktirafan rasmi daripada Asia Records dan ASEAN Records menerusi kategori “Highest Continuous Live Radio Broadcast from the World’s Second Tallest Building”.
Mengulas cabaran itu, Fara berkata, dia sebenarnya antara individu paling teruja apabila idea terbabit dicadangkan kerana sememangnya meminati aktiviti mencabar.
“Ramai cakap saya banyak drama, tapi untuk cabaran ini saya memang teruja sebab saya suka ketinggian.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya gembira sebab ramai pendengar hantar gambar dan mesej tanda mereka mengikuti siaran kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




