‘Peluang terakhir BN pilih kerjasama atau tempur PRN Johor’ – Suhaizan

‘Peluang terakhir BN pilih kerjasama atau tempur PRN Johor’ – Suhaizan

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor masih mempunyai peluang terakhir untuk mempertimbangkan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, peluang tersebut ditawarkan sendiri oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada Konvensyen PH 2026.

Menurut beliau, tawaran tersebut diberikan dengan penuh kebaikan, kesabaran dan kebijaksanaan kepada BN untuk berubah dengan melaksanakan rundingan kerusi khusus bagi pilihan raya negeri (PRN).

“Sekiranya BN terus memilih jalan keangkuhan politik dan menolak semangat kerjasama, maka PH bersedia untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di seluruh negara.

“Keadaan ini juga membuka ruang kepada kemungkinan pilihan raya umum (PRU) dan PRN diadakan secara serentak demi mengembalikan mandat kepada rakyat.

“⁠Sekarang bola berada di kaki BN. Buatlah pilihan yang tepat antara keangkuhan politik yang tidak berkesudahan ataupun muafakat membawa berkat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), ketika berucap pada konvensyen tersebut berkata, jika tidak mahu bekerjasama selepas tawaran diberikan, PH akan bertanding di semua kerusi dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“PH akan tanding semua kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan semuanya. Jika runding dengan baik, demi politik stabil.

“Saya banyak bersabar sebenarnya. Tapi kamu pilih untuk tempur, apa pilihan saya,” ujar Perdana Menteri ketika berucap.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, PH sejak awal menghulurkan tangan kerjasama demi kestabilan politik dan masa depan rakyat Johor.

Antaranya, kata beliau, cadangan supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk di negeri ini sebagaimana model yang berjaya dilaksanakan di Melaka.

“⁠Sekarang bola berada di kaki Barisan Nasional. Buatlah pilihan yang tepat antara keangkuhan politik yang tidak berkesudahan ataupun muafakat membawa berkat,” katanya.

Scroll to Top