am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan saluran mediasi atau perantaraan yang sudah termaktub dalam perjanjian kerjasama dibentuk mereka sebelum ini untuk menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat, jika wujud.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggunaan saluran itu lebih wajar, bagi mengelak sebarang pertikaian yang wujud, berpanjangan sehingga mengganggu fokus serta tugas untuk membantu rakyat dan mengurus negara.
“Kita ada klausa mediasi dalam perjanjian (kerjasama) antara PH dengan BN. Saya rasa (Pengarah Komunikasi PH) Datuk Fahmi (Fadzil) ada sebut semalam mengenai klausa (perantaraan) itu.
“Pada saya, mana-mana pihak, kalau tak puas hati, patut pakai klausa itu. Itu yang (dinyatakan dalam) perjanjian (untuk) kita masuk bersama (jadi kerajaan).
“Ada klausa itu, saya rasa perenggan lima, dia adalah perantaraan. Harapan saya kita masuk pada perantaraanlah mana-mana pihak (yang tak puas hati),” katanya ditemui media pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono 2026 oleh Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Auditorium AIAC di sini, hari ini.
Turut sama hadir, Presiden AIAC Court of Arbitation, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Ketua Pegawai Eksekutif AIAC, Datuk Almalena Sharmila Johan.
Azalina merujuk perjanjian kerjasama yang dimeterai antara BN dan PH selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, yang panggil sebagai perjanjian 18 perkara, bermatlamat untuk menyelesaikan sebarang masalah berbangkit antara kedua-dua gabungan itu.
Terdahulu, beliau diminta mengulas ucapan beberapa pemimpin PH ketika Konvensyen PH di Johor semalam, yang dilihat mengecam serta mengkritik pendirian Barisan Nasional (BN).
Ia susulan keputusan BN Johor untuk bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, dalam kes pertikaian politik di Negeri Sembilan baru-baru ini, pendekatan sedemikian digunakan untuk mengelak isu itu berpanjangan.
“Saya rasa dalam isu di Negeri Sembilan, kes itu kita respon kepada perantaraankan,” katanya sambil menjelaskan bagi dirinya, tiada masalah untuk bekerja bersama PH ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




