am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Dua pokok hiasan Jalan Hospital di sini, tumbang dengan satunya terkena kabel elektrik sebelum menarik tiang lampu dan menghempap serta menembusi bumbung sebuah bas ekspres.
Kejadian jam 10.50 malam tadi berlaku ketika hujan lebat yang menyebabkan kesesakan jalan raya, namun tidak membabitkan kehilangan nyawa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Engku Azam Engku Yahya, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.01 malam berhubung kejadian.
“Ketika tiba di lokasi, didapati ada dua pokok besar yang menjadi hiasan di tepi jalan tumbang dengan satunya menghala ke bangunan jabatan kerajaan.
“Sementara, sebatang lagi terkena kabel elektrik dan pada masa sama sebuah kereta melalui jalan itu menarik kabel berkenaan menyebabkan sebatang tiang lampu terjatuh dan menembusi bahagian bumbung sebuah bas ekspres.
“Bas itu dalam perjalanan ke terminal bas Lembah Sireh selepas mengambil penumpang di Pengkalan Chepa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Engku Azam berkata, tiada mangsa yang cedera memandangkan hanya ada lima penumpang sahaja dalam bas dua tingkat itu dan semua mereka berada di tingkat bawah ketika kejadian.
Beliau berkata, kesemua mangsa dipindahkan ke bas ekspres lain sebelum perjalanan diteruskan.
“Pihak kami bertindak memotong pokok yang merentasi jalan dan membersihkan kawasan terbabit.
“Operasi kira-kira dua jam itu tamat sepenuhnya jam 1.35 pagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



