MALE – Mayat empat lagi pelancong Itali yang hilang ketika menyelam di sebuah gua bawah laut di Maldives akhirnya ditemukan pada Isnin, sekali gus melengkapkan operasi pencarian dalam tragedi selaman paling buruk pernah berlaku di negara kepulauan itu.
Menurut laporan New York Post, mayat Monica Montefalcone, 52, anak perempuannya Giorgia Sommacal, 20, Muriel Oddenino, 31, dan Federico Gualtieri, 31, ditemukan dalam kawasan Thinwana Kandu yang turut dikenali sebagai ‘gua jerung’.
Mayat jurulatih selam mereka, Gianluca Benedetti, 44, sebelum ini ditemukan pada Jumaat.

Mayat empat lagi pelancong Itali yang hilang ketika menyelam di sebuah gua bawah laut di Maldives akhirnya ditemukan pada Isnin. Foto AP
Kesemua mangsa dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ketika meneroka rangkaian gua bawah laut di Vaavu Atoll, Maldives.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyelam maut ketika cari empat mayat pelancong di gua dasar laut
Misi keluarkan mayat pelancong laut Maldives sebelum dibaham jerung
Operasi pencarian dilakukan pasukan penyelam elit dari Finland yang diterbangkan khas ke Maldives oleh Divers Alert Network Europe selepas pihak berkuasa tempatan menghadapi kesukaran untuk menyelam ke kedalaman kira-kira 150 meter bagi memasuki kawasan gua berkenaan.
Pasukan itu terdiri daripada penyelam berpengalaman, Sami Paakkarinen, Jenni Westerlund dan Patrik Grönqvist, yang pernah terlibat dalam operasi menyelamat pasukan bola sepak remaja Thailand di dalam gua pada 2018.
Kementerian Luar Itali memaklumkan punca sebenar kematian lima mangsa masih belum dikenal pasti, manakala operasi membawa keluar mayat dari dasar laut dijangka mengambil masa beberapa hari lagi.

Pasukan Pengawal Pantai Angkatan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF) menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Vaavu Atoll.-Agensi
Dalam perkembangan berkaitan, seorang anggota penyelam penyelamat Maldives, Sarjan Mejar Mohamed Mahudhee, turut maut ketika operasi mencari mangsa pada Sabtu lalu, menjadikan jumlah korban tragedi itu meningkat kepada enam orang.
Laporan turut menyebut kira-kira 20 lagi pelancong Itali berada di atas kapal layar Duke of York ketika kejadian berlaku, namun mereka selamat dan sudah pulang ke Itali.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan kemungkinan keracunan oksigen akibat selaman terlalu dalam menjadi antara faktor yang disiasat berhubung tragedi tersebut.-Agensi



