Israel pintas lagi kapal misi Global Sumud Flotilla

Israel pintas lagi kapal misi Global Sumud Flotilla
Israel pintas lagi kapal misi Global Sumud Flotilla

Kejadian pemintasan haram oleh askar Zionis itu berlaku di perairan antarabangsa. – Foto Agensi

TEL AVIV – Tentera Israel sekali lagi memintas kapal yang menyertai flotila bantuan ke Genting Gaza.

Kejadian itu dikongsikan penganjur Global Sumud Flotilla menerusi platform media sosial pada Isnin.

“Kami berada di perairan antarabangsa kira-kira 402 kilometer dari Gaza,” menurut catatan tersebut.

Penganjur turut memuat naik rakaman video menunjukkan detik ketika kapal aktivis pro-Palestin itu diserbu pihak berkuasa rejim Zionis.

Salah sebuah kapal, Munki ‘diserang’ hingga menyebabkan hubungan komunikasi terputus.

Pada minggu lalu, lebih 50 kapal berlayar dari bandar pelabuhan Marmaris di Turkiye di bawah fasa akhir misi bagi mencabar sekatan Israel terhadap Gaza.

Akhbar Yedioth Ahronoth Israel melaporkan askar Israel telah menahan aktivis di atas kapal-kapal flotila dan memindahkan mereka ke sebuah kapal tentera laut sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod di Tel Aviv.

Kira-kira sejam sebelum insiden pemintasan itu, Kementerian Luar Israel memberi amaran kepada flotila supaya berpatah balik, namun amaran itu tidak dihiraukan.

Stesen penyiar Kan melaporkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dijangka memberi kebenaran kepada tentera untuk menghalang flotila daripada sampai ke Gaza dan merampas kapal yang cuba memecahkan sekatan maritim tersebut. – Agensi

 

Scroll to Top