Malaysia ‘ganyang’ Filipina, mara ke separuh akhir

Malaysia ‘ganyang’ Filipina, mara ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Status juara bertahan terus digalas penuh bergaya apabila skuad regu negara melangkah ke separuh akhir acara regu Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas menewaskan Filipina 2-0 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Turun dengan reputasi besar di hadapan penyokong sendiri, gandingan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam mempamerkan aksi bertenaga apabila langsung tidak memberi ruang kepada lawan untuk mencipta kejutan.

Regu Filipina yang dibarisi Ronsited Gabayeron, Glindel Phori dan Vince Alysson Torno cuba memberi tentangan pada awal permainan, namun ketangkasan dan disiplin permainan skuad negara nyata berada di kelas tersendiri.

Malaysia bermula garang apabila menguasai set pertama 15-9 sebelum terus menekan lawan tanpa belas ihsan pada set kedua.

Anak buah Ahmad Jais Baharun semakin rancak mengatur serangan dengan variasi libasan dan kawalan gelanggang yang kemas, sekali gus menutup perlawanan dengan kemenangan meyakinkan 15-5.

Kejayaan itu bukan sahaja mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, malah memberi isyarat jelas bahawa Malaysia serius memburu kejuaraan kedua berturut-turut.

Menanti Malaysia dalam perebutan tiket final ialah Myanmar yang terlebih dahulu menyingkirkan India 2-0 dalam aksi suku akhir.

Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir bakal menemukan Korea Selatan dengan Thailand dalam pertarungan yang dijangka sengit.

Kini tumpuan terarah kepada misi lebih besar dalam memastikan status raja acara regu kekal berada di bumi Malaysia.-UTUSAN

Scroll to Top