
Pempengaruh, Aaron Hutchings yang mengendalikan laman filantropi @whatintheworldfamily, membantu membebaskan sebuah keluarga di Pakistan daripada belenggu hutang yang diwarisi turun-temurun sejak lebih satu abad lalu.
ISLAMABAD – Tindakan seorang pempengaruh dari Amerika Syarikat yang aktif menjalankan kerja kebajikan menyentuh hati ramai selepas membantu membebaskan sebuah keluarga di Pakistan daripada belenggu hutang yang diwarisi turun-temurun sejak lebih satu abad lalu.
Pempengaruh tersebut, Aaron Hutchings yang mengendalikan laman filantropi @whatintheworldfamily, bersama pasukannya dilaporkan mengunjungi sebuah kilang bata di negara itu sebelum melunaskan sepenuhnya hutang keluarga berkenaan.
Pembayaran tersebut sekali gus menamatkan penderitaan keluarga itu yang terpaksa bekerja di kilang berkenaan selama kira-kira 130 tahun demi membayar hutang yang semakin bertambah dari generasi ke generasi.
Sebuah video yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita tempatan memeluk Hutchings dalam keadaan sebak sebagai tanda penghargaan, manakala beberapa ahli keluarga lain turut kelihatan menitiskan air mata.
Difahamkan, sistem buruh hutang berlaku apabila individu yang terdesak meminjam wang dan kemudian dipaksa bekerja bagi melunaskan hutang tersebut. Namun, kadar upah yang terlalu rendah serta faedah tinggi menyebabkan hutang sukar diselesaikan.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila hutang itu diwariskan kepada anak-anak selepas kematian ibu bapa, menyebabkan generasi seterusnya terus terperangkap dalam kitaran sama.
Di Pakistan, ramai kanak-kanak yang lahir dalam keluarga buruh hutang terpaksa bekerja sejak kecil dan tidak berpeluang mendapat pendidikan.
Menurut anggaran Jabatan Negara Amerika Syarikat, sekitar 4.5 juta penduduk di Pakistan dipercayai masih hidup dalam keadaan perhambaan moden seperti itu.



