PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar parti, seterusnya akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa pada Isnin.
Pengumuman itu dibuat oleh kedua-dua bekas menteri berkenaan ketika majlis pengumuman hala tuju politik yang berlangsung di sini pada Ahad.
Rafizi berkata, surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin dan seterusnya pemakluman rasmi keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh pada Selasa.
“Itu membolehkan perkara ini tidak dilihat sebagai lompat parti kerana kami menghormati mandat yang dimenangi atas tiket PKR dan PH (Pakatan Harapan).

Presiden Parti Bersama Malaysia (MU), Tan Gin Theam (kanan) menyerahkan sijil pendaftaran parti itu kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai platform baharu hala tuju politik bagi kedua-dua bekas menteri itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Rafizi, Nik Nazmi ambil alih Parti Bersama Malaysia
ARTIKEL BERKAITAN: Projek ‘kamikaze’ cari platform politik baharu sejak setahun lalu – Rafizi
“Jadi kami akan mengosongkan kerusi itu kerana kami telah membuat keputusan bermula Selasa, 19 Mei bahawa akan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik di sini pada Ahad.
Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi mengesahkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama), iaitu sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.

Rafizi
Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan beliau bersama Nik Nazmi mempunyai tanggungjawab menyediakan platform kepada wakil rakyat terutama ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk dipertimbangkan selepas ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan Rafizi, Nik Nazmi perlu diteliti dari aspek undang-undang – Anthony Loke
“Cuma cabaran terbesar ialah ada kekangan berkaitan Akta Lompat Parti yang mengikat ahli Parlimen dan ADUN bukan sahaja dari PKR, tetapi juga DAP, Pas, Bersatu dan lain-lain.
“Sebab itu saya dan Nik Nazmi perlu merintis jalan tersebut dengan menubuhkan satu platform terlebih dahulu.
“Keputusan itu terpulang kepada wakil rakyat lain sama ada mahu mengosongkan kerusi Parlimen terlebih dahulu dan bergerak bebas,” ujarnya.



