Kekuatan pelapis versatil

Kekuatan pelapis versatil

am@hmetro.com.my

TERKENAL dengan lakonan yang tidak pernah mengecewakan, Mimi Lana terus membuktikan dirinya antara aktres pelapis versatil yang mampu membawa apa juga watak dengan berkesan.

Bukan sahaja memiliki paras cantik dan manis, malah kekuatan utama anak kelahiran Perak itu terletak kepada kemampuan emosi yang sering meninggalkan kesan pada penonton.

Setiap karakter yang dibawa sama ada drama mahupun filem, ada sentuhan tersendiri sehingga membuatkan ramai yang percaya dan menunggu setiap kali naskhah ditayangkan.

Tidak lama lagi, Mimi atau nama penuh, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 31, bakal muncul menerusi filem seram Polong arahan Zulkarnain Azhar yang diilhamkan daripada kisah benar.

Membawa watak sebagai wartawan jenayah, Mimi terpikat untuk membintangi filem Polong kerana jalan ceritanya yang menarik selain mengetengahkan pelbagai elemen baharu yang berani.

“Sebenarnya ini adalah filem seram kedua saya selepas kali terakhir membintangi genre ini pada 2018.

“Tambahan pula, naskhah yang dibuat ini diilhamkan daripada cerita sebenar dan mungkin topik ini dekat dengan orang ramai untuk mudah difahami.

“Apabila baca skrip Polong, saya rasa jalan ceritanya sangat menarik kerana ia bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi menggabungkan elemen jenayah dan secara tidak langsung membuka ruang untuk penonton memahami aspek perundangan,” katanya.

Isteri kepada aktor Syafiq Kyle ini berkata, selain faktor watak dan jalan cerita, dia mempertimbangkan siapa pengarah sebelum menerima tawaran.

“Saya terima tawaran ini kerana Abang Zul. Sudah lama saya mahu bekerjasama dengannya. Saya yakin dengan kemampuan serta kredibiliti beliau dalam menghasilkan filem berskala besar.

“Saya pernah melihat sendiri cara beliau bekerja sebelum ini. Syafiq pernah bekerja dengan beliau, jadi saya percaya Abang Zul mampu menterjemahkan naskhah kepada visual dengan sangat baik dan berkesan.

“Malah, selepas trailer filem ini dilancarkan, apa yang dipaparkan memang betul menepati jangkaan saya terhadap hasil kerja dan kualiti pengarahan beliau,” katanya.

Ditanya cabaran yang dilalui sepanjang menjayakan penggambaran filem Polong, Mimi mengakui dia perlu berdepan tuntutan fizikal yang agak berat.

“Cabaran terbesar sepanjang penggambaran lebih kepada aspek fizikal kerana saya banyak bermain dengan pergerakan, teknikal kamera serta babak yang perlukan tenaga dan ketahanan.

“Ada beberapa babak yang memerlukan saya bermandi darah tiruan untuk tempoh lama. Solekan kesan khas juga mengambil masa yang panjang. Jadi, saya perlu berada di set dalam keadaan itu sepanjang hari.

“Malah, ada babak yang memerlukan saya berada di atas katil selama tiga hari. Disebabkan terlalu lama terkena darah tiruan, tangan saya kecut kerana seharian berada dalam keadaan itu.

“Namun, saya sangat menikmati proses titu kerana saya tahu semua itu membantu menghasilkan visual yang cantik dan memberi impak kepada filem ini,” katanya.

Mimi berkata, dia bukan terlalu penakut apabila berlakon dalam filem seram, namun dia terkejut dengan tahap elemen ganas yang dipaparkan dalam Polong.

“Saya sebenarnya berada di tengah-tengah, tidak terlalu penakut dan tidak terlalu berani, tengok kepada situasi. Sepanjang penggambaran saya rasa takut sedikit sebab cerita ini agak ‘gore’.

“Apabila mula baca skrip, perkara pertama yang saya tanya kepada Abang Zul adalah apakah kisah ini lulus untuk tayangan kerana ada beberapa babak yang sangat ‘gore’.

“Bagaimanapun, saya percaya Abang Zul lebih memahami bagaimana untuk kawal visual dan sampaikan elemen itu dengan baik. Apa yang saya bayangkan ketika membaca skrip juga berjaya diterjemahkan dengan sangat memuaskan ketika penggambaran,” katanya.

Selain Mimi, Fad dan June, filem Polong yang bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 28 Mei ini, menampilkan Namron, Nadiya Nisaa, Riezman Khuzaimi, Amir Nafis, Nesa Idrus dan Elizad Sharifuddin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top