Francsuffia sinar buat wanita

Francsuffia sinar buat wanita

Kesukaran hidup dihadapi golongan wanita terutama ketika pandemik Covid-19 menjadi titik permulaan buat seorang doktor perubatan untuk membantu wanita keluar daripada kepompong kemiskinan, kemurungan dan tekanan hidup.

Pengarah Urusan Francsuffia Training & Consultancy Sdn Bhd, Dr Suffia Hany Mohd Amin berkata, pengalaman melihat ramai wanita berdepan cabaran rumah tangga dan masalah ekonomi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi inspirasi untuk membantu wanita bangkit, membina ekonomi sendiri serta memperkasakan diri mereka.

Menurutnya, penglibatan dalam pelbagai program komuniti dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membuka ruang untuk beliau memperkasakan wanita menerusi latihan kemahiran dan keusahawanan.

“Wanita di luar sana banyak diuji dengan cabaran rumah tangga dan ekonomi. Jadi terlahir inspirasi saya untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan, kemurungan dan tekanan hidup.

“Saya mula keluar membantu mereka untuk tampil ke hadapan, bina ekonomi sendiri dan memperkasakan wanita untuk teguh menjadi seorang wanita yang hebat,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, Dr Suffi a Hany memberitahu, akademi yang ditubuhkannya menjadi platform untuk membantu wanita menjana pendapatan menerusi pelbagai latihan kemahiran termasuk penjagaan selepas bersalin, penjaga ibu berpantang, spa perubatan dan spa perubatan bergerak.

No Image Caption

Beliau melihat, kemahiran yang diberikan membolehkan wanita-wanita tersebut berdikari, sekali gus membantu keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Dari situlah terlahirnya akademi saya untuk membantu mereka memberi kemahiran dan juga menjana pendapatan. Bagi saya, ini apa yang membezakan saya dengan usahawan lain dan saya suka membantu mereka,” ujarnya lagi.

Berkongsi ilmu Dr Suffia Hany yang juga Presiden Pertubuhan Pembangunan dan Perkembangan Ekonomi Negeri Selangor berkata, seorang usahawan tidak seharusnya hanya memikirkan keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai rasa simpati dan empati terhadap masyarakat.

“Apabila mereka mempunyai kemahiran, mereka boleh keluar menjadi usahawan, menjana pendapatan sendiri dan membantu keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk berkongsi ilmu dan membimbing mereka. Seorang usahawan bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata tetapi membantu orang lain bangkit bersama,” menurutnya.

Beliau berkata, program-program yang dilaksanakannya memberi fokus kepada pembangunan kemahiran dan keyakinan wanita supaya mereka berani tampil menjadi usahawan berjaya.

Dr Suffia Hany (hadapan, kanan) menerima Anugerah Ikon Pemerkasaan Wanita pada Malam Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 di Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya.

Dr Suffia Hany (hadapan, kanan) menerima Anugerah Ikon Pemerkasaan Wanita pada Malam Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 di Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya.

Dr Suffia Hany mengakui perjalanan selama hampir 10 tahun dalam bidang pembangunan wanita bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi selepas membuat keputusan mengubah hala tuju kerjaya daripada doktor perubatan kepada bidang pemerkasaan usahawan wanita.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, setiap ujian dan cabaran dianggap sebagai proses membina jati diri serta membentuk versi terbaik seseorang individu.

“Apabila kita yakin dengan apa yang usaha kita buat, saya pasti keyakinan itu kita beri semangat kepada setiap wanita. Untuk memartabatkan wanita, kita sendiri sebagai wanita harus bersatu,” katanya.

BISA 2026 sebagai pembakar semangat

Dr Suffia Hany memberitahu, Anugerah Ikon Pemerkasaan Wanita Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 diterima adalah satu penghargaan terhadap dirinya atas usaha membantu membangkitkan ekonomi negara melalui pembangunan usahawan wanita.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong (hadapan, tengah) bergambar bersama penerima anugerah termasuk Dr Suffi a Hany (tengah) pada Malam Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong (hadapan, tengah) bergambar bersama penerima anugerah termasuk Dr Suffi a Hany (tengah) pada Malam Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya.

Beliau berkata, pengiktirafan diterima juga adalah amanah dan menjadi pembakar semangat untuk terus membantu lebih ramai wanita dan usahawan bangkit mencipta kejayaan dalam kehidupan.

Menurutnya, masih ramai wanita yang takut untuk keluar daripada zon selesa dan berdepan cabaran hidup sehingga menyebabkan mereka memilih untuk terus berada di rumah tanpa keyakinan untuk membina masa depan sendiri.

“Selepas mendapat kejayaan ini, saya akan lebih gigih membantu semua usahawan dan para wanita untuk bangkit menjadi seorang usahawan yang berjaya.

“Saya mahu membantu wanita-wanita ini supaya lebih berani menghadapi cabaran dan menjadi wanita yang lebih hebat serta berjaya,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman dalam pelbagai program CSR di bandar dan luar bandar membuka matanya terhadap realiti sebenar kehidupan wanita pada masa kini, sekali gus memberi semangat untuk meneruskan perjalanan tersebut.

“Saya melihat wanita-wanita sekarang ramai yang takut tampil ke hadapan untuk menjadi usahawan yang berjaya dan menjadi wanita hebat.

“Perkara ini menyebabkan saya rasa terpukul dan mahu membantu lebih ramai wanita untuk bangkit serta berani menghadapi cabaran hidup di luar sana,” tambahnya lagi.

 

 

 

Scroll to Top