
Nabil menegaskan rakyat akan menjadi penentu untuk menilai pihak yang benar-benar ikhlas bekerjasama demi membina negara.
SHAH ALAM – Ugutan berulang kali Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh untuk membawa UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan merupakan tindakan yang tidak lagi memberi kesan.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, meskipun ugutan berkenaan sering diulang, sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil.
“Kalau benar sudah tidak mampu bersama dan merasakan kerjasama ini satu beban, maka tidak perlu terus bermain tarik tali politik.
“Kita lawan sahaja secara terbuka dan habis-habisan di medan demokrasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini Dr Muhamad Akmal secara lantang menyebut sudah tiba masanya UMNO membuat keputusan keluar daripada Kerajaan Perpaduan ekoran kelantangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang bertekad untuk menguburkan Barisan Nasional (BN) buat kali kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, PH sepatutnya bergembira dengan keputusan BN Johor kerana secara tidak langsung membuka peluang untuk gabungan itu bertanding lebih banyak kerusi seperti yang diidamkan sebelum ini.
Dalam pada itu Nabil menegaskan, rakyat akan menjadi penentu untuk menilai pihak yang benar-benar ikhlas bekerjasama demi membina negara.
Menurutnya, rakyat juga mampu menilai pihak yang hanya mementingkan kuasa politik.
“Rakyat sendiri akan menilai siapa yang benar-benar ikhlas bekerjasama demi membina negara dan siapa yang gila kuasa,” ujarnya.



