Biduanita Negara, Siti Nurhaliza mengakui beliau tidak terlalu menggalakkan anak-anaknya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa, untuk menceburi dunia seni secara serius walaupun kedua-duanya dilihat mempunyai minat terhadap muzik.
Menurut Siti, 46, dia tidak menolak kemungkinan bakat seni itu mengalir dalam diri anak-anaknya, namun buat masa ini dia lebih selesa jika mereka menjadikan muzik sekadar hobi dan minat peribadi.
“Saya tak berapa galakkan. Tapi tak boleh nafikanlah darah seni itu ada dalam diri dia tapi ayah dia pun lagilah tak galakkan,” katanya ketika muncul dalam segmen Carta ERA 40 baru-baru ini.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Senyawa itu berkata beliau dan suami tidak pernah menghalang sekiranya anak-anak menunjukkan minat terhadap muzik, termasuk dalam pembelajaran alat muzik atau nyanyian.
“Cuma kalau ada minat, tak apa. Dia boleh je nak belajar piano sekarang Aafiyah belajar piano, kalau dia nak menyanyi pun nyanyilah.
“Tapi saya tengok Aafiyah ni dia jarang menyanyi. Dia tak seperti adik dia. Adik dia setiap masa menyanyi. Afwa tu dia macam… saya surprise sangat. Sekejap dia boleh nyanyi dengan melodinya sendiri.
“Nak mandi pun dia boleh buat lagu nak mandi,” ujarnya.

Artikel lain: Tak ke mana jadi pelakon, Che Ta enggan anak ceburi industri seni – “Nak Aaisyah jadi ustazah”
Namun begitu, Siti menegaskan beliau belum bersedia untuk membenarkan anak-anaknya terjun secara serius ke dalam industri hiburan walaupun melihat potensi bakat yang ada.
“Kalau itu cara yang mereka suka, saya tak halang. Tapi kalau nak serius… tak adalah,” tambahnya.




