mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Dua tahun lalu kita memang rancang untuk ‘tour’ (jelajah) seluruh negara, tetapi salah satu kekangan yang kita hadapi adalah dari segi ‘viability of the business’ (daya maju perniagaan).
“Contohnya, cukai hiburan di negeri lain 25 peratus. Di Kuala Lumpur dan Selangor alhamdulillah ‘zero’ (kosong) untuk band tempatan. Jadi bila kita buat kira-kira, macam mana pun tak boleh balik modal.”
Demikian kata Karl, pemain gitar kumpulan Cromok mengulas masalah yang dihadapi pemuzik tanah air untuk mengadakan konsert di luar Lembah Kelang.
Karl atau nama sebenarnya, Khairul Anuar Shariff menggesa pertimbangan diberikan oleh setiap kerajaan negeri bagi membolehkan mereka mengadakan konsert di negeri terbabit.
“Saya sebenarnya dah pusing satu Malaysia, pergi Ipoh, Selangor, Kuantan, stadium serta semua dewan saya masuk. Masalah kekangan cukai itu yang menyebabkan kita kena ‘restrategize’ (susun semula strategi) balik show.
“Sekarang Cromok dan Barbarik bakal menjayakan Konsert Black On White yang dijadual berlangsung di IdeaLive Arena, 3 Damansara, pada 27 Jun ini.
“Kalau benda ini sukses, kita ada plan untuk dua tiga tempat lagi. Cuma kita masih berunding dengan beberapa kerajaan negeri untuk ‘reduce entertainment tax’,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Black On White Cromok-Barbarik, semalam.
Menurutnya, kadar cukai 25 peratus itu terlalu tinggi dan penganjur selalunya hanya beroleh keuntungan paling tinggi hanya 30 peratus sahaja.
“Bila cukai dah 25 peratus, pengabjur tak dapat apa, kerajaan negeri pula dapat ‘percuma’ sahaja. Jadi kita tengah berunding. Insya-Allah lepas ini kita akan pergi ke Utara kalau sukses.
“Apapun kami harap kerajaan negeri boleh pertimbangkan semula supaya kita boleh bawa lebih banyak show ke sana. Kos pengangkutan dan hotel untuk 40 orang kru bukan murah.
“Kalau di Kuala Lumpur, malam masuk, habis show terus selesai. Kalau di luar, kena tiga hari. Jadi kalau cukai dapat dikurangkan, kita boleh kawal harga tiket agar serendah mungkin untuk peminat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Konsert Black On White Cromok-Barbarik anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik akan tampil dengan keunikan tersendiri di mana peminat bakal disajikan dengan sebuah segmen khas tribute kepada kumpulan legenda Kembara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




