
Zambry berkata, kepimpinan menghormati pendirian yang dibawa BN Johor berhubung hala tuju dan persiapan menghadapi PRN.
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) menepis dakwaan bahawa gabungan itu mengkhianati kerjasama politik yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan keputusan BN Johor untuk bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, persefahaman dan asas pembentukan kerajaan Perpaduan adalah atas tanggungjawab kenegaraan untuk mengelakkan negara terheret dalam polemik politik berpanjangan.
Menurut beliau, pendirian itu disepakati hingga mandat terakhir.
“Justeru tidak timbul persoalan BN mengkhianati kerajaan Perpaduan.
“BN akan terus memainkan peranan memelihara kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada masa sama, Zambry berkata, kepimpinan menghormati pendirian yang dibawa BN Johor berhubung hala tuju dan persiapan menghadapi PRN selaras pandangan semua pihak dalam parti komponen negeri itu.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Sabtu mengumumkan akan bertanding di kesemua kerusi DUN dalam PRN akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO negeri.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya menegaskan bahawa gabungan parti itu akan bertanding di semua kawasan sama ada pada PRN mahu pun Pilihan Raya Umum (PRU) selepas dikejutkan dengan keputusan BN negeri itu.
Beliau turut memaklumkan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan PRU lebih awal.
Pada PRN 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN, PH (12), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).



