Kemasukan ke IPTA kekal berasaskan SPM – Zambry

Kemasukan ke IPTA kekal berasaskan SPM – Zambry

KUALA BERANG – Kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) Online kekal berasaskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, kerajaan menerusi keputusan Kabinet, telah menetapkan bahawa syarat asas kemasukan ke institusi pengajian tinggi melalui UPU Online ialah memiliki Sijil Pelajaran SPM, tanpa mengira aliran atau jenis sekolah yang diikuti pelajar.

“Saya telah menekankan dan memaklumkan sebelum ini bahawa kerajaan serta Kabinet telah membuat keputusan, bahawa kemasukan ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mestilah berasaskan SPM. Tidak kiralah sama ada seseorang itu belajar di sekolah ini atau sekolah itu, asas kemasukan melalui UPU tetap berpandukan SPM.

“Kita perlu faham bahawa sekolah dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), manakala kemasukan ke universiti pula melalui UPU Online. Dalam UPU Online, syarat yang ditetapkan ialah berasaskan SPM. Kita tidak membuka kemasukan berdasarkan keputusan lain, subjek lain ataupun sijil lain,” katanya selepas majlis pelancaran Program Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu bersempena majlis penyerahan Kampung Angkat Madani UMT, di sini pada Selasa.

Zambry berkata, pihak kementerian, tidak menetapkan kemasukan ke universiti berdasarkan sijil atau sistem lain di luar ketetapan sedia ada.

“Untuk memasuki UPU dan IPTA, asasnya (SPM) tetap sama. Saya fikir itu pendirian yang telah saya nyatakan, namun isu ini telah menjadi kontroversi dalam kalangan tertentu dan ada juga pihak yang merasakan ruang yang diberikan masih tidak mencukupi.

“Bagi saya, apa yang paling penting ialah asas kepada dasar pendidikan kita, iaitu untuk memasuki universiti iaitu asas SPM itu mesti ada,” katanya.

Mengulas mengenai diskriminasi terhadap pelajar sekolah agama dan pondok, beliau berkata, kerajaan tidak mendiskriminasikan mana-mana pihak, sebaliknya hanya menetapkan syarat asas yang sama untuk semua pelajar, iaitu menduduki peperiksaan SPM bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke universiti.

“Kita tidak mendiskriminasikan mana-mana pihak. Asas yang kita nyatakan jelas. Cuma ada pihak yang menyatakan perkara ini sebagai satu bentuk manipulasi, kerana membandingkan sebuah sekolah agama dengan sekolah lain, sedangkan ia tidak. Jadi bukan kita membandingkan, bukan kita meletakkan sama sebab kedua-duanya ada sistem yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan dasar tersebut, kerajaan tetap berpegang kepada prinsip bahawa SPM merupakan asas utama kemasukan ke universiti di negara ini. – Bernama

Scroll to Top