
Jet pejuang JF-17 Thunder milik Tentera Udara Pakistan melakukan penerbangan semasa fasa latihan di Karachi. Foto Agensi
ISLAMABAD – Pakistan dilaporkan menghantar kira-kira 8,000 anggota tentera bersama skuadron jet pejuang ke Arab Saudi ketika konflik melibatkan Iran terus memuncak.
Menurut laporan eksklusif Reuters yang memetik sumber keselamatan dan pegawai kerajaan, penempatan itu dilakukan di bawah perjanjian pertahanan bersama antara Islamabad dan Riyadh.
Sumber berkata, pasukan yang dihantar termasuk 16 pesawat pejuang JF-17 buatan bersama Pakistan-China selain dua skuadron dron serta sistem pertahanan udara HQ-9 dari China.
Kesemua aset tersebut dikendalikan anggota tentera Pakistan manakala kos operasi dibiayai Arab Saudi.
Laporan itu menyebut penempatan tersebut bertujuan membantu pertahanan Arab Saudi sekiranya negara itu menjadi sasaran serangan lanjut susulan perang melibatkan Iran.
Dua pegawai keselamatan memaklumkan sebahagian anggota tentera udara dan ketenteraan Pakistan berperanan sebagai penasihat serta jurulatih kepada pasukan Saudi.
Bagaimanapun, skala penempatan melibatkan pesawat tempur, sistem pertahanan udara dan ribuan anggota tentera menunjukkan ia bukan sekadar misi simbolik atau latihan biasa.
Sumber kerajaan Pakistan turut mendakwa perjanjian pertahanan sulit antara kedua-dua negara membolehkan sehingga 80,000 anggota tentera Pakistan ditempatkan di Arab Saudi jika diperlukan.
Reuters sebelum ini melaporkan Pakistan pernah menghantar jet pejuang ke Arab Saudi selepas serangan Iran terhadap infrastruktur tenaga negara Teluk itu.
Langkah tersebut dibuat sebelum Pakistan muncul sebagai pengantara utama dalam konflik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS). -Agensi



