am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan laporan mengenai Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) Bidor kepada Jemaah Menteri bulan depan, khususnya berkaitan pengurusan pelarian secara komprehensif.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Nota Jemaah Menteri akan disediakan sebelum ia dibentangkan selaras dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.
“Kebetulan semalam saya melawat depoh di Bidor. Di sana sedang berlaku satu projek khas kita.
“Projek besar yang akan menentukan berpotensi menjadi ‘game changer’ kepada satu tajuk besar dalam negara kita, iaitu pengurusan pelarian secara komprehensif,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Saifuddin berkata, projek khas yang sedang dijalankan di depoh berkenaan berpotensi menjadi ‘game changer’ dalam pengurusan pelarian di negara ini.
“Saya sudah membuat laporan kepada MTEN tadi dan keputusannya adalah saya diminta untuk membentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Tajuk itu ternyata memancing minat sebahagian besar ahli-ahli MTEN dan membawa kepada perbincangan yang sangat menarik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Nota Jemaah Menteri dijadual dibentangkan pada minggu kedua bulan depan bagi memperincikan projek khas berkenaan.
“Cuma kita ada tugasan tambahan, siapkan laporan kepada Jemaah Menteri, biar dalam bulan Jun, dalam minggu kedua kita laporkan sebagai Nota Jemaah Menteri kepada rakan-rakan Jemaah Menteri.
“Di atas permintaan Perdana Menteri sebab kita berpeluang untuk memberikan perincian terhadap satu projek khas yang sedang kita jalankan, sesuai tanggungjawab yang diberikan,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin meminta JIM memperkukuhkan keupayaan agensi itu bagi mendepani ancaman sindiket rentas sempadan membabitkan pemalsuan dokumen, penyeludupan migran, eksploitasi warga asing dan penyalahgunaan sistem imigresen negara.
Katanya, JIM perlu mempunyai kemampuan untuk membaca pola migrasi global, memahami perubahan geopolitik, mengesan ancaman rentas sempadan dan membuat unjuran risiko sebelum sesuatu krisis berlaku.
“Sindiket hari ini tidak lagi beroperasi secara konvensional. Mereka menggunakan pasport yang dimanipulasi, pemalsuan identiti, pertukaran dokumen perjalanan di lapangan terbang transit, penyalahgunaan visa serta mengeksploitasi teknologi dan kelemahan sistem antarabangsa untuk mengaburi penguatkuasaan imigresen.
“Laluan migrasi tidak teratur hari ini berkembang menjadi satu ‘operational ecosystem’ yang sentiasa berubah mengikut tekanan penguatkuasaan dan peluang yang tersedia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




