am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa bapa Allahyarham Zara Qairina iaitu Mahathir Mohd Hashim didakwa sudah lama tidak melawat atau menghubungi anaknya itu.
Saksi ke-71, Nur Shida Abdullah berkata walaupun Mahathir dan Noraidah Lamat (ibu) masih berstatus suami isteri namun pasangan itu tidak tinggal bersama sejak Zara Qairina berusia tiga atau empat tahun.
“Saya tidak tahu kenapa mereka tidak tinggal sebumbung. Apa yang saya tahu, dia (bapa Zara) berada di Sabah.
“Setakat yang saya tahu, bapa Zara sebelum ini pernah berkahwin dan bercerai sebelum berkahwin dengan ibu Zara,” katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali Mohd Fairuz Johari mengenai Mahathir.
Wanita berusia 46 tahun dari Kuala Lumpur itu turut berkata ibu Zara hanya pernah berkahwin dengan Mahathir.
Tambahnya, Zara mempunyai dua adik-beradik tiri dan kanak-kanak itu pernah bertemu anak sulung berkenaan ketika berusia lapan bulan.
Peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili Mahathir turut menyoal Nur Shida mengenai sama ada Allahyarham Zara Qairina pernah berhubung dengan bapanya.
Nur Shida berkata, Zara ada memberitahunya bahawa “Baba” sudah lama tidak menghubungi atau melawatnya.
“Perbualan itu berlaku di dalam kereta ketika saya membawa Zara ke Lawas. Saya tidak ingat tarikh tepat, tetapi ketika cuti Hari Raya pada 2025,” katanya.
Terdahulu, saksi itu turut memberitahu peguam Joan Goh bahawa dia hanya bertemu Zara ketika musim cuti dan kebanyakannya mengikuti perkembangan anak saudaranya itu melalui Noraidah menerusi panggilan telefon atau media sosial Zara.
Zara Qairina pernah ke Kuala Lumpur sebelum 2020 untuk melawat keluarga saksi dan sekali lagi ketika Hari Raya tahun lalu.
Nur Shida turut memberitahu mahkamah bahawa dia hanya mengetahui mengenai kewujudan diari dan kod bar milik anak saudaranya itu apabila inkues bermula pada September tahun lalu.
Goh mewakili seorang daripada lima kanak-kanak yang dituduh menghina Zara Qairina secara lisan.
Inkues bersambung esok dengan keterangan abang Noraidah dan anak saudaranya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




