Shanghai: Seorang warga emas yang memiliki rumah di Shanghai memilih tinggal di sebuah pasar raya bagi mengelak rasa sunyi, lapor South China Morning Post.
Malah, Qiangming, 78, juga bertindak menyerahkan kediamannya kepada seorang pengasuh yang dikenalinya di premis berkenaan meskipun mendapat bantahan anak lelakinya.
Qiangming sudah tinggal di laluan masuk kakitangan pasar raya di Shanghai selama hampir sedekad kerana takut hidup dan mati sendirian di rumahnya selepas bercerai pada 2000.
Warga emas itu tidur di atas tikar, berehat di kawasan makan di pasar raya itu pada waktu siang, serta membawa wang tunai sebanyak 50,000 yuan (kira-kira RM33,000) di dalam poket bersama sebuah perakam video digital (DV).
Qiangming menyifatkan dirinya sebagai seorang pengembara dan bukannya pengemis, manakala rumah berkeluasan 20 meter persegi (215 kaki persegi) yang terletak berhampiran dianggarkan bernilai kira-kira satu juta yuan (kira-kira RM660,000).
Pada 2021, dia bertemu dengan seorang pengasuh wanita dikenali sebagai Huang di pasar raya berkenaan yang ketika itu membawa seorang warga emas lain jagaannya bersiar-siar.
Huang kemudian membantu membasuh rambut Qiangming dan mula melawatnya secara berkala untuk membawa makanan serta membantu penjagaan diri warga emas itu sehingga penampilannya kelihatan lebih baik dan ceria.
Sebagai tanda terima kasih, Qiangming menganggap Huang sebagai “anak perempuan” dan memutuskan untuk mewariskan rumahnya kepada wanita itu sebagai balasan atas penjagaannya.
Warga emas itu mempunyai seorang anak lelaki, namun mereka dilaporkan sudah tidak berhubung sejak perceraiannya kira-kira dua dekad lalu.
Bagaimanapun, usaha untuk menandatangani perjanjian penjagaan sukarela dan memindahkan hak milik hartanah kepada ‘anak perempuan’ Huang gagal selepas mahkamah mengarahkan anak lelaki Qiangming dimaklumkan terlebih dahulu.
Anak lelakinya membantah keras keputusan itu dan mendakwa Qiangming sudah menyerahkan rumah berkenaan kepada ibunya ketika perceraian selain menuntut hak milik penuh dan menuduh Huang menipu bapanya.
Kes itu dibawa ke mahkamah oleh anak lelaki Qiangming yang akhirnya memenangi saman dan diiktiraf sebagai pemilik sah sebelum mengubah suai serta menyewakan rumah pusaka itu pada 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




