Lima prinsip Rukun Negara perlu difahami secara menyeluruh – Ronnie Liu

Lima prinsip Rukun Negara perlu difahami secara menyeluruh – Ronnie Liu
Lima prinsip Rukun Negara perlu difahami secara menyeluruh – Ronnie Liu

Ronnie Liu dan laporan Sinar Harian

SHAH ALAM – Kelima-lima prinsip Rukun Negara tidak boleh difahami secara terpilih, sebaliknya perlu dihayati secara menyeluruh sebagai asas budaya politik negara.

Bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew berkata, prinsip itu merangkumi Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan yang menjadi semangat kebangsaan lengkap untuk semua rakyat Malaysia.

Menurut beliau, dalam suasana politik dan masyarakat yang semakin dipenuhi emosi serta perpecahan, semua ahli politik perlu kembali memahami semangat sebenar Rukun Negara.

“Pada pandangan patik, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya ahli politik hadir ke Dataran Selangor sebanyak dua kali sebulan untuk mendekati rakyat dan menghayati semula Rukun Negara bukan sekadar satu aktiviti simbolik atau formaliti semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa

Ronnie berkata, saranan Sultan Selangor ahli politik hadir ke Dataran Selangor dua kali sebulan membawa mesej lebih mendalam mengenai kepentingan kembali kepada asas pembinaan negara.

Beliau berkata, masalah utama yang dihadapi Malaysia ketika ini bukan sekadar persaingan politik, tetapi budaya politik yang semakin ekstrem dan saling menyerang sehingga menjauh daripada semangat asal pembinaan negara.

Menurutnya, politik era baharu tidak sepatutnya lagi dibina atas kebencian, emosi dan perpecahan, sebaliknya perlu berteraskan kematangan, rasional dan rasa hormat demi kestabilan negara.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Sultan Selangor menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan Ronnie Liu hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi menghayati prinsip Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan.

Baginda bertitah, langkah itu penting agar semua pihak khususnya pemimpin politik memahami nilai asas yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian negara.

 

 

Scroll to Top