harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa pembekal rokok elektronik atau vape diberkas susulan penularan video memaparkan individu khayal dipercayai terkena penangan cecair perasa diracuni dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan pantas pihaknya berjaya mengesan lalu menahan individu terbabit di sekitar Selangor dan Johor.
“Menerusi Op Vape 1.0 yang dilaksanakan bersama pelbagai agensi penguatkuasaan di seluruh negara, sebanyak 1,670 premis diperiksa.
“Rampasan keseluruhan bernilai RM 4.6 juta berjaya dilakukan termasuk cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis furanyl fentanyl,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, JSJN komited mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terbabit dalam aktiviti pengedaran vape mengandungi bahan terlarang.
Katanya, trend penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja kini semakin membimbangkan kerana berpotensi menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah yang lebih serius serta mencemarkan nilai moral masyarakat.
“Orang ramai digesa untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




