am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan komited memastikan segala dasar dan langkah intervensi ekonomi yang dirangka sentiasa berpaksikan realiti sebenar sektor industri, khususnya dalam membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendepani tekanan kos serta krisis bekalan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini, kerajaan mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berhubung impak rantaian bekalan global terhadap sektor pembuatan negara.
Anwar berkata, pembentangan itu amat penting bagi memberikan gambaran lebih jelas kepada kerajaan mengenai cabaran semasa yang sedang dihadapi pihak industri sebelum sebarang langkah susulan diambil.
“Ini penting supaya langkah dan dasar yang dirangka Kerajaan benar-benar mengambil kira realiti di lapangan, khususnya dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang paling terkesan dengan tekanan kos semasa,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasmi miliknya, hari ini.
Bagi mendepani cabaran itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah mengambil langkah memperkukuh sokongan kewangan melalui SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) berjumlah RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan PKS negara terus berupaya mengekalkan aliran tunai dan meneruskan operasi perniagaan mereka.
Selain itu, sokongan jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM5 bilion turut disediakan bagi membantu sektor-sektor yang terkesan.z
Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan bahawa MTEN turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Menurutnya, pelaksanaan sistem tersebut akan dibuat secara seimbang supaya kawalan ketirisan dapat diperkukuhkan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan negara.
Mengenai strategi jangka panjang mendepani ketidaktentuan pasaran, Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan terus mengurus krisis ini dengan memberi tumpuan kepada jaminan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan, di samping mengekang tekanan kenaikan harga serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Libat urus bersama industri dan semua pihak berkepentingan akan terus dipertingkat supaya setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




