harisfadli@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Seorang wanita warga emas berusia 80-an ditahan selepas aksinya memandu melawan arus di kilometer 10.1 Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), di sini, tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsuddin Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam semalam ketika suspek dalam perjalanan untuk pulang ke rumah.
“Suspek tersesat jalan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum memandu secara melawan arus untuk mencari susur keluar dari lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiada kemalangan berlaku antara kenderaan suspek dan mana-mana pemandu lain atau objek di lebuh raya berkenaan.
Katanya, suspek ditahan hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Semua pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diinginkan berlaku.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan.
“Saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Jayseelan Supaya di talian 0182582531,”katanya.
Berdasarkan video tular, aksi wanita warga emas itu dirakam seorang penunggang motosikal yang mengekorinya dan membunyikan hon.
© New Straits Times Press (M) Bhd




