Bersatu Selangor tegas semua wakil rakyat perlu hormati institusi Raja-Raja Melayu

Bersatu Selangor tegas semua wakil rakyat perlu hormati institusi Raja-Raja Melayu

SHAH ALAM – Semua wakil rakyat wajib menghormati institusi Raja-Raja Melayu, beradab serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, pendirian itu dinyatakan susulan sokongan penuh parti berkenaan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkaitan Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor.

Menurutnya, Bersatu Selangor turut mengambil maklum teguran khusus Sultan Selangor terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew.

“Sebagai parti yang menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu, kami berpandangan bahawa semua wakil rakyat wajib menghormati institusi Raja, beradab dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian serta kedudukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, parti itu juga menjunjung kasih serta menyokong penuh titah Sultan Selangor yang memperkenalkan Plak Monumen Rukun Negara sebagai usaha mendidik rakyat, khususnya generasi muda mengenai asas perpaduan negara.

Tegasnya, peristiwa 13 Mei 1969 ialah sejarah hitam yang tidak boleh diulang dan Rukun Negara perlu terus dijadikan pegangan bersama rakyat pelbagai kaum dan agama.

Dalam pada itu, beliau berkata, Bersatu Selangor bersetuju dengan seruan Sultan Selangor supaya setiap Ahli Yang Berhormat di negeri itu menjadikan lawatan ke Dataran Selangor sebagai amalan.

“Memahami dan menghayati maksud Rukun Negara adalah tanggungjawab semua pemimpin tanpa mengira parti politik,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu Selangor akan terus berpegang kepada prinsip mempertahankan agama Islam serta berkhidmat kepada rakyat dan negara seperti dititahkan Sultan Selangor.

 

 

Scroll to Top