norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi Norhasmidar Ahmad atau Asmidar, 40, mengaku dia hanya sekadar peminat tegar Allahyarham Datuk Sharifah Aini kerana membesar dengan lagu-lagu nyanyian Biduanita Negara itu.
Asmidar berkata, sebagai peminat dia juga tidak mempunyai kenangan indah yang peribadi dengan arwah Sharifah Aini kerana tidak pernah bersemuka dan hanya menyanyikan lagu sahaja.
“Bila mendengar Shiha, Ibu Khaty dan Mama Salamiah bercerita mengenai kenangan mereka bersama arwah Kak Pah (panggilan mesra Sharifah Aini), saya rasa teruja dan seronok. Namun, untuk saya pula hanya seorang peminat.
“Apapun, sangat ‘best’ (seronok) bila dengar mereka bertiga kongsi cerita masing-masing. Tetapi, saya hanya boleh cerita pengalaman pernah menyanyikan lagu-lagu Kak Pah. Sebab, sejak dari kecil saya sudah sering mendengar dan membesar dengan lagu-lagu Kak Pah,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Asmidar ditemui baru-baru ini pada sidang media Konsert A Tribute To Sharifah Aini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 6 Jun depan bersama Datuk Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan dan Shiha Zikir.
Ditanya sama ada dia berasa diri ‘kerdil’ berbanding tiga penyanyi berkenaan, Asmidar berkata sedikit-sebanyak ada juga perasaan itu kerana seronok juga kalau dia memiliki secebis pengalaman seperti pernah buat persembahan sepentas.
“Namun, saya adalah seorang peminat yang kagum pada vokal dan lagu-lagu Kak Pah. Termasuk, ada pengalaman pernah menyanyi lagu-lagu Allahyarham semasa menyertai pertandingan nyanyian. Itu sahaja.
“Oleh itu, apabila saya mendapat tawaran undangan daripada konduktor muzik, Ahmad Muriz Che Rose untuk menyanyi lagi bersama iringan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) memang sukar ditolak dan Konsert A Tribute To Sharifah Aini pula.
“Ditambah ada Ibu Khaty, Mama Salamiah dan Shiha juga, saya suka dan ingin sepentas bersama mereka. Ini peluang dan rezeki yang tidak wajar untuk dilepaskan. Saya harus terima dan mencuba,” katanya nekad memberi persembahan terbaik,
Ujar Asmidar, pembabitannya dalam konsert ini juga disifatkan sebagai tanda penghormatan terhadap arwah Sharifah Aini sekali gus hadiah bermakna buat dirinya sebagai peminat.
Mengulas lagu arwah Sharifah Aini yang dirasakan sangat mencabar baginya, Asmidar memaklumkan sudah lagu Seri Dewi Malam kerana alunan vokal Allahyarham didapati lebih lembut dan lunak didengar oleh penonton.
Kata Asmidar, walaupun dia sudah terbiasa menyanyikan lagu tradisional dan irama Melayu, namun dari segi kelembutan mungkin nada vokalnya tidak selembut alunan arwah Sharifah Aini, tetapi akan cuba dilakukan sehabis baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




