
Rukun Negara dan Perlembagaan berfungsi saling melengkapi antara satu sama lain dalam membentuk asas kenegaraan Malaysia. Gambar kecil: Lian Ker
SHAH ALAM – Rukun Negara dan Perlembagaan berfungsi saling melengkapi antara satu sama lain dalam membentuk asas kenegaraan Malaysia.
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, hierarki perundangan negara meletakkan Perlembagaan Persekutuan di kedudukan teratas, diikuti undang-undang yang diluluskan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Menurut beliau, bagi dasar, konvensyen serta falsafah kebangsaan berada pada peringkat berikutnya namun, prinsip Rukun Negara itu secara langsung mencerminkan asas-asas Perlembagaan.
“Kepercayaan Kepada Tuhan (Islam sebagai agama Persekutuan sambil menjamin kebebasan beragama), Kesetiaan Kepada Raja dan Negara (Raja Berperlembagaan dan kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja).
“Keluhuran Perlembagaan (Kedaulatan Perlembagaan itu sendiri), Kedaulatan Undang-Undang (pemerintahan berasaskan undang-undang) manakala Kesopanan dan Kesusilaan pula dari sudit etika sivik serta tata kelakuan sosial),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Lian Ker berkata, berhubung dengan konsep Raja Berperlembagaan, sultan atau Yang di-Pertuan Agong bertindak dalam batasan dan konvensyen Perlembagaan.
“Titah diraja, kenyataan atau siaran media mempunyai pengaruh moral, institusi dan politik yang amat besar khususnya dalam perkara berkaitan Islam, adat Melayu dan martabat negeri.
“Oleh itu, dari sudut perlembagaan, Institusi Raja memperoleh kuasa daripada serta berfungsi dalam kerangka Perlembagaan
“Titah diraja tidak mengatasi Perlembagaan, namun mempunyai kepentingan perlembagaan serta kuasa moral dalam pentadbiran dan tingkah laku awam,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua yang mendakwa kuasa raja terhad disifatkan cuba memisahkan institusi raja daripada Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan bekas wakil rakyat dari DAP itu mengundang pelbagai kritikan yang mendakwa pandangan diberikan itu mengelirukan dan tidak memberi tafsiran sebenar Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.



