Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini mengurangkan hukuman penjara kepada 12 tahun dan 10 sebatan terhadap bekas pelajar universiti swasta bagi kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 1900.9 gram, enam tahun lepas.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara membenarkan rayuan akhir Muhammad Nur Arif Nur Akil, 28, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Mei 2025 dan digantikan dengan kesalahan pemilikan.
“Mahkamah mendapati rayuan perayu mempunyai merit dan tidak boleh ada presumed knowledge (pengetahuan yang dianggap atau diandaikan) dan actual knowledge (pengetahuan sebenar),” katanya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Ravinthran Paramaguru.
Mahkamah juga memerintahkan Muhammad Nur Arif menjalani hukuman penjara 12 tahun itu bermula dari tarikh tangkap 2 September 2020.
Pada 28 Mac 2024, Mahkamah Tinggi Seremban telah mensabitkan lelaki itu atas kesalahan mengedar dadah sama (kanabis) mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan telah dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 26 Mei 2025 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas menolak rayuan Muhammad Nur Arif untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.
Muhammad Nur Arif didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1900.9 gram di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Seremban pada 5.30 petang pada 2 September 2020 mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.
Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhammad Nur Arif berhujah bahawa Hakim Bicara terkhilaf dari segi undang-undang kerana bergantung kepada kedua-dua pengetahuan langsung dan pengetahuan yang dianggap (presumed knowledge) untuk mensabitkan kesalahan terhadap perayu suatu pendekatan yang salah.
“Oleh itu, pihak perayu memohon agar sabitan tersebut diketepikan dan digantikan dengan suatu sabitan bagi kesalahan pemilikan serta dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai berkata cubaan perayu untuk menurunkan kes itu kepada milikan semata-mata adalah bercanggah dengan fakta yang telah dibuktikan dan dengan dapatan mahkamah.
“Dadah kanabis seberat 1900.9 gram bukan kuantiti kecil.Kepentingan awam, unsur deterrence dan bahaya sosial yang timbul daripada pengedaran dadah semestinya diberi penekanan.
“Tiada salah prinsip telah ditunjukkan oleh perayu dalam penghukuman. Oleh itu, mohon rayuan perayu ditolak dan sabitan serta hukuman dikekalkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




