KUALA LUMPUR – Huawei memperkukuh kedudukannya dalam segmen peranti boleh pakai premium menerusi pelancaran tiga produk baharu iaitu Huawei Watch Fit 5 Series, Huawei Watch Ultimate Design Spring Edition dan Huawei FreeClip 2 Berry Purple di Malaysia.
Pelancaran di bawah kempen “Now Is Your Spark” itu dilihat sebagai strategi syarikat teknologi berkenaan untuk mengembangkan ekosistem gaya hidup pintar yang menggabungkan elemen kesihatan, fesyen dan fungsi harian.
Huawei Watch Fit 5 Series menjadi produk utama yang dipertaruhkan Huawei menerusi penawaran reka bentuk lebih premium dengan ciri kesihatan dan kecergasan pintar yang dipertingkatkan.
Siri itu menampilkan skrin 1.82 inci, manakala edisi Pro hadir dengan skrin lebih besar bersaiz 1.92 inci, tahap kecerahan hingga 3,000 nits dan penggunaan material premium seperti titanium gred aeroangkasa serta kaca nilam 2.5D.
Model Pro turut dilengkapi fungsi pengurusan kesihatan termasuk kajian risiko diabetes menggunakan analisis isyarat vaskular berasaskan PPG secara tidak invasi, selain fungsi ECG, analisis aritmia, pemantauan tidur TruSleep 5.0 dan analisis HRV.
Bagi segmen gaya hidup aktif dan sukan, siri berkenaan menawarkan pengalaman khusus untuk sukan raket seperti badminton, pickleball dan tenis menerusi platform Goodshot, PickleX dan Tennix.
Model Pro turut menyasarkan pengguna aktif luar dengan fungsi seperti navigasi laluan, pemetaan padang golf melibatkan lebih 17,000 lokasi global serta kemampuan freediving hingga kedalaman 40 meter.
Dalam memperkukuh sokongan terhadap ekosistem sukan negara, Huawei Malaysia turut bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi platform pengiktirafan sukan utama termasuk Anugerah Sukan Negara (ASN).

Huawei FreeClip 2
Siri Huawei Watch Fit 5 ditawarkan bermula RM799 dan kini dibuka untuk pratempahan dengan baucar diskaun awal hingga RM150.
Pelanggan turut ditawarkan pelbagai insentif termasuk hadiah percuma bernilai hingga RM585 seperti Huawei FreeBuds SE 2, jaminan APAC setahun dan keahlian HUAWEI Health+.
Dalam segmen ultrapremium, Huawei turut memperkenalkan Huawei Watch Ultimate Design Spring Edition hasil kerjasama dengan pereka barang kemas antarabangsa, Francesca Amfitheatrof.
Jam tangan pintar mewah itu menampilkan 99 berlian semula jadi, rekaan berinspirasikan lengkungan Fibonacci serta kaca nilam potongan berlian bagi menyasarkan pengguna premium dan pencinta fesyen.
Peranti berharga RM17,999 itu turut hadir bersama pakej perlindungan dan servis premium bernilai RM5,143.
Huawei turut melancarkan Huawei FreeClip 2 dalam warna baharu Berry Purple yang menyasarkan pengguna yang mahukan gabungan gaya dan pengalaman audio terbuka.
Peranti audio itu menggunakan rekaan Airy C-Bridge yang ringan dan selesa digunakan sepanjang hari selain membolehkan pengguna kekal peka terhadap persekitaran ketika mendengar audio atau menerima panggilan.
Peranti audio tersebut dijual pada harga RM699 selepas rebat bersama tawaran hadiah percuma bernilai sehingga RM248.
Untuk maklumat lanjut mengenai Huawei Watch Fit 5 Series, Huawei Watch Ultimate Design Spring Edition dan Huawei FreeClip 2 Berry Purple, layari laman web rasmi Huawei atau platform media sosial rasmi Huawei di Facebook dan Instagram.



