Istanbul: Seramai 87 aktivis di atas kapal-kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza dan kini ditahan Israel, melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap penahanan mereka serta tanda solidariti dengan tahanan Palestin di penjara Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menerusi hantaran di platform X pada Selasa, GSF memaklumkan bahawa buat kali kedua dalam tempoh tiga minggu, tentera Israel yang mendakwa sebagai “tentera paling bermoral” telah menculik rakan-rakan mereka di perairan antarabangsa.
Menurut GSF, “sebagai bantahan terhadap penculikan yang menyalahi undang-undang dan tanda solidariti dengan lebih 9,500 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel, sekurang-kurangnya 87 peserta GSF berikrar untuk melancarkan mogok lapar sehingga mereka dibebaskan.”
GSF menggesa pembebasan semua tahanan yang ditahan pihak berkuasa Israel serta menyeru kerajaan di seluruh dunia mengecam “tindakan lanun” itu.
Ia turut menggesa sekatan ke atas Semenanjung Gaza ditamatkan dan semua individu yang diculik daripada flotila itu dibebaskan, termasuk semua tahanan Palestin.
Global Sumud Flotilla pada Selasa memaklumkan bahawa kesemua 50 kapal dalam konvoi bantuannya telah dirampas Israel.
Kesemua kapal itu membawa 428 individu dari 44 negara, termasuk 78 warga Turkiye.
© New Straits Times Press (M) Bhd




