PETALING JAYA: Sebanyak 26 tren baharu bagi Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya dijangka mula beroperasi pada 2031 dalam usaha meningkatkan tahap kebolehpercayaan serta mengurangkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna.
Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid Rail, Nor Azmi Mohd. Yusof berkata, proses penggantian tren sedia ada telah dimulakan dengan tren pertama dijadual tiba pada 2029 sebelum keseluruhan penggantian disasarkan siap menjelang 2030.
Menurut beliau, pelaksanaan projek itu merupakan langkah jangka panjang bagi memastikan sistem pengangkutan awam lebih stabil, selamat dan berdaya tahan untuk masa akan datang.
“Penggantian 26 set tren baharu telah dimulakan dan jika mengikut jadual, tren pertama akan tiba di Laluan Kelana Jaya pada tahun 2029.
“Penggantian ini dijangka selesai sepenuhnya pada 2030 dan mungkin bermula 2031, insya-Allah kita akan dapat beroperasi dengan tren baharu,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Rapid Rail, Subang, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan pada pagi Isnin akibat gangguan teknikal membabitkan sebuah tren.
Rapid KL memaklumkan gangguan tersebut berpunca daripada kerosakan komponen tren yang menyebabkan ia tidak dapat bergerak.
Nor Azmi berkata, gangguan operasi di Laluan Kelana Jaya pada 12 Mei lalu membabitkan Tren 72 berpunca daripada kabel bateri antara gerabak yang dilaporkan cair akibat kerosakan pada penebat (insulator) kabel.
“Insiden itu merupakan kejadian pertama direkodkan sejak penubuhan Rapid Rail pada tahun 1998,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan pemeriksaan terperinci telah dilakukan ke atas semua tren bagi memastikan semua komponen termasuk kabel bateri berada dalam keadaan selamat.
“Setakat ini kita tidak menemui tanda-tanda lain yang membimbangkan, namun faktor usia tren turut diambil kira dalam setiap pemeriksaan yang dijalankan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui faktor usia tren antara penyumbang kepada gangguan operasi, namun menegaskan bukan semua masalah berpunca daripada faktor tersebut semata-mata.
“Ada juga gangguan berlaku disebabkan ketidakstabilan sistem yang sedang dinaik taraf. Apabila sistem melalui proses penambahbaikan, ia mengambil masa untuk mencapai tahap kestabilan.
“Gangguan kecil dalam sistem juga boleh memberi kesan kepada operasi harian tren,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan tren sedia ada terus beroperasi dengan selamat sehingga ketibaan tren baharu, Rapid Rail melaksanakan pendekatan condition based maintenance, iaitu penyelenggaraan proaktif berdasarkan keadaan semasa komponen.
Menurutnya, komponen tertentu akan ditukar lebih awal walaupun belum mencapai tempoh ditetapkan dalam manual penyelenggaraan sekiranya terdapat tanda-tanda kerosakan.
“Pendekatan ini membantu memastikan tren lebih ‘reliable’ dan selamat digunakan dalam operasi harian,” katanya.
Tambah beliau, proses penstabilan sistem yang sedang dinaik taraf dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun berdasarkan tempoh defect liability period projek berkenaan.
“Sepanjang tempoh itu, sistem akan terus dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna,” katanya.




