NEW DELHI – Kenyataan kontroversi Ketua Hakim Negara India, Surya Kant yang menyamakan golongan belia dan aktivis sebagai ‘lipas’ mencetuskan gelombang sindiran politik apabila ribuan anak muda menyertai gerakan satira dikenali sebagai ‘Cockroach Janta Party’.
Gerakan itu diasaskan graduan perhubungan awam berusia 30 tahun, Abhijeet Dipke selepas beliau memuat naik hantaran sinis di platform X bertanya: “Bagaimana jika semua lipas bersatu?”
Sindiran tersebut muncul selepas Kant ketika prosiding mahkamah terbuka pada Jumaat lalu mendakwa terdapat golongan ‘parasit’ yang menyerang sistem selain menyamakan anak muda menganggur dengan lipas.
“Terdapat anak muda seperti lipas yang tidak mendapat pekerjaan dan tiada tempat dalam profesion. Ada yang menjadi media, aktivis media sosial, aktivis hak mendapatkan maklumat awam dan mula menyerang semua orang,” katanya.
Walaupun beliau kemudian menjelaskan kenyataan itu ditujukan kepada individu yang memperoleh ijazah secara penipuan dan bukan terhadap belia India secara keseluruhan, kenyataan tersebut tetap mencetuskan kemarahan besar terutama dalam kalangan Generasi Z.
Golongan muda India kini berdepan kadar pengangguran tinggi, inflasi serta perpecahan agama yang semakin meruncing selepas lebih sedekad pemerintahan nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.
Dalam tempoh tiga hari, akaun Instagram Cockroach Janta Party dilaporkan meraih lebih tiga juta pengikut manakala lebih 350,000 individu mendaftar sebagai ahli menerusi borang dalam talian.
Antara yang menyertai gerakan itu termasuk beberapa tokoh politik pembangkang seperti Mahua Moitra dan Kirti Azad.
Dipke berkata, parti satira itu diwujudkan sebagai simbol protes terhadap cara pemerintah melihat rakyat.
“Mereka yang berkuasa menganggap rakyat seperti lipas dan parasit. Mereka perlu tahu bahawa lipas membiak di tempat yang rosak. Itulah India hari ini,” katanya kepada Al Jazeera.
Bekas penjawat awam India, Ashish Joshi yang turut menyertai gerakan itu berkata, ramai rakyat kini takut bersuara susulan tindakan keras kerajaan terhadap pengkritik.
“India menjadi terlalu penuh kebencian sehingga Cockroach Janta Party terasa seperti nafas baharu,” katanya.
Menurut laporan itu, parti satira berkenaan turut menggunakan slogan sinis seperti “sekular, sosialis, demokratik dan malas” selain menyasarkan isu manipulasi pengundi, media korporat dan hubungan politik dengan golongan elit perniagaan.
Dipke mengakui beliau membangunkan identiti parti itu dalam tempoh 24 jam menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI) termasuk Claude dan ChatGPT bagi menghasilkan reka bentuk serta manifesto gerakan tersebut.
Penganalisis melihat fenomena itu sebagai gambaran rasa kecewa generasi muda India terhadap keadaan politik dan ekonomi semasa negara tersebut. – Agensi



