Bekas Exco Selangor, Ronnie Liu akhirnya ‘turun padang’ ke Dataran Selangor atas titah Sultan Selangor bagi membaca semula serta menghayati Rukun Negara dengan lebih mendalam.
Kunjungan beri kesan emosi
Menerusi perkongsian beliau di Facebook, Ronnie menyifatkan kunjungan itu memberi kesan emosi apabila beliau kembali menghayati prinsip Rukun Negara yang menurutnya bukan sekadar hafalan, tetapi asas penting negara yang lahir daripada pengalaman sejarah yang mencabar.
“Ketika membaca semula Rukun Negara, saya benar-benar tersentuh dan berasa amat mendalam di dalam hati.
Dahulu ramai antara kita menghafal Rukun Negara, namun hari ini apabila saya berdiri semula di sini dan benar-benar memahami sejarah serta semangat di sebaliknya, barulah saya menyedari bahawa apa yang ditinggalkan oleh para pengasas negara bukan sekadar beberapa rangkap kata, tetapi suatu kebijaksanaan negara yang lahir daripada pengalaman pahit dan luka besar yang pernah dilalui negara ini,” tulisnya.
Nilai Rukun Negara bukan hanya pada 5 prinsip
Beliau menjelaskan Rukun Negara dibentuk selepas insiden 13 Mei sebagai usaha mengelakkan perpecahan kaum, konflik sosial dan politik ekstrem daripada berulang, sekali gus membina semangat perpaduan nasional.
Ronnie turut menegaskan bahawa nilai sebenar Rukun Negara bukan hanya pada lima prinsipnya, tetapi pada semangat hidup bersama secara aman, saling menghormati dan membina masa depan negara secara bersama.
“…nilai sebenar Rukun Negara bukan sekadar terletak pada lima prinsipnya, tetapi pada semangat yang dibawanya:
“Agar rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar budaya dapat terus hidup bersama secara aman, saling menghormati, serta bersama-sama membina masa depan negara,” ujarnya lagi.
Dalam perkongsian sama, beliau telah menyenaraikan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi tunjang kepada kestabilan negara majmuk.
Beliau turut mengakui suasana politik semasa yang semakin beremosi dan terpolarisasi menjadikan nilai Rukun Negara lebih penting untuk dihayati oleh semua pihak.

Susulan daripada itu, Ronnie mengajak semua ahli politik tanpa mengira parti agar menilai semula pendekatan masing-masing supaya selaras dengan semangat Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan perpaduan negara.
Menurutnya, kestabilan negara hanya boleh dicapai melalui ketamadunan politik, kekuatan institusi serta sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pengasas negara yang menurutnya telah meninggalkan panduan penting agar Malaysia terus kekal stabil dan maju ke hadapan.
Sumber: Facebook Ronnie Liu




