am@hmetro.com.my
Hulu Langat: Aktiviti dua remaja lelaki mandi sungai berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas di Sungai Langat di Kampung Rantau Panjang, Batu 14 di sini, hari ini.
Mangsa, Muhamad Arif Asyraf Zaiful Anuar, 14, ditemui kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan lemas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.57 petang.
Menurutnya, hasil maklumat diterima dua remaja lelaki berusia 14 tahun dikatakan pergi ke Sungai Langat untuk mandi pada 12.30 tengah hari.
“Mereka mandi di kawasan air yang dalam dan mangsa hanyut ke kawasan (lebih) dalam sehingga lemas.
“Kawan mangsa kemudian pergi ke balai polis untuk membuat laporan.
“Pasukan penyelamat yang menerima maklumat itu ke lokasi bersama jentera dan bot fiber untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, anggota bomba yang tiba di lokasi membuat pencarian di permukaan air dan mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.
“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan, dan mayat dibawa ke Hospital Ampang untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




