PKR serah notis tamat ahli Rafizi, Nik Nazmi kepada Speaker Dewan Rakyat- Fuziah Salleh

PKR serah notis tamat ahli Rafizi, Nik Nazmi kepada Speaker Dewan Rakyat- Fuziah Salleh
PKR serah notis tamat ahli Rafizi, Nik Nazmi kepada Speaker Dewan Rakyat- Fuziah Salleh

Kenyataan yang dikeluarkan oleh PKR pada Rabu dan Fuziah Salleh (kiri).

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan notis berkenaan penamatan keanggotaan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

Notis itu dibuat susulan pengistytiharan keluar parti oleh kedua-dua bekas pemimpin PKR itu pada 17 Mei 2026.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, parti berpendirian bahawa tindakan meninggalkan parti melalui pengisytiharan mereka itu menyebabkan Perkara 9.1(c) Perlembagaan Parti Keadilan adalah terpakai.

“Keadilan juga berpendirian bahawa tindakan tersebut mempunyai kesan langsung di bawah Perkara 49A (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, saya selaku Setiausaha Agung menyerahkan keputusan mengenai status mereka berkenaan Perkara 49A (1)(c) dan juga tindakan lanjut kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar PKR seterusnya akan mengosongkan kerusi yang disandang masing-masing.

Pengumuman itu dibuat oleh kedua-dua bekas menteri berkenaan ketika majlis pengumuman hala tuju politik yang berlangsung di Petaling Jaya.

Rafizi berkata, surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin, seterusnya pemakluman rasmi keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh pada Selasa.

Rafizi dan Nik Nazmi dalam program sama mengesahkan mengambil alih Bersama, iaitu parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.

 

Scroll to Top