Berbalas serangan isu ‘kaduk naik junjung’, Asyraf Wajdi kata Tony Pua langgar garisan merah

Berbalas serangan isu ‘kaduk naik junjung’, Asyraf Wajdi kata Tony Pua langgar garisan merah

SHAH ALAM – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi membalas hantaran media sosial bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung isu ‘biadab’ dan ‘bagai kaduk naik junjung’.

Asyraf Wajdi berkata, sindiran Tony yang kononnya ‘terpaksa’ mencari maksud di sebalik peribahasa itu sambil memberikan reaksi hambar disifatkan melampaui batas.

“Jika seseorang perlu mencari maksud peribahasa semata-mata untuk memahami mengapa orang berkata ‘kaduk naik junjung’, mungkin itu sendiri sudah menjadi jawapannya.

“Tony Pua, kamu sudah melanggar garis merah,” katanya menerusi hantaran terbaharu di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi mendakwa Tony lupa adab dan batas dengan raja, selain menyifatkannya sebagai biadab.

Kata beliau, apabila titah Sultan dipersenda, ia bukan kebebasan bersuara tetapi biadab.

Sebelum ini, Himpunan Daulat Tuanku pada Sabtu lalu memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu agar diwujudkan Lembaga Kesetiaan Negara.

ARTIKEL BERKAITAN:

Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung – Asyraf Wajdi

Tony Pua dakwa kuasa raja terhad pada aspek tertentu

‘Cukup-cukuplah kerjasama dengan mereka, titah Sultan pun sanggup diperlekeh’ – Akmal Saleh

Hormati Institusi Raja, jangan pilih Perlembagaan ikut kepentingan politik – Mohamed Sukri

Lembaga tersebut berperanan menilai dan mengesyorkan tindakan perlucutan taraf kewarganegaraan terhadap mana-mana individu atau pihak yang melakukan tindakan biadab, penderhakaan serta penghinaan baik dari segi percakapan, penulisan atau apa jua bentuk perbuatan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Lembaga tersebut juga dicadang dianggotai sembilan orang yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Susulan itu, Tony pada Selasa mengeluarkan kenyataan bahawa semua rakyat Malaysia perlu memahami Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia dengan teliti selaras sistem raja berperlembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara.

Ujarnya, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.

Bagaimanapun, pada hemat beliau, secara umumnya kuasa raja adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

 

Scroll to Top