Sydney: Polis Australia pada Khamis memaklumkan bahawa seorang lelaki didakwa kerana dipercayai mencuri barangan milik mangsa ketika insiden tembakan besar-besaran yang mengorbankan nyawa di Pantai Bondi di sini, tahun lalu.
Dalam kejadian pada Disember itu, seramai 15 orang terbunuh apabila Naveed Akram bersama bapanya, Sajid, didakwa menyerang sambutan Hanukkah dalam insiden tembakan paling buruk di Australia dalam tempoh beberapa dekad.
Antara mangsa yang maut ialah bekas sarjan detektif polis dan ahli kelab ragbi tempatan, Peter Meagher, yang ketika itu menjalankan tugasan fotografi sambilan.
Polis New South Wales berkata, suspek berusia 35 tahun itu dipercayai mencuri peralatan fotografi milik Meagher sejurus selepas serangan berlaku.
Katanya, suspek yang juga seorang jurugambar bertindak menggadaikan peralatan berkenaan beberapa hari kemudian.
Suspek kini berdepan pertuduhan mencuri secara besar-besaran dan memiliki dadah dijangka akan dihadapkan ke mahkamah di Sydney pada bulan depan.
Kelab Ragbi Randwick menyifatkan kematian Meagher sebagai “sukar diterima”, manakala keluarganya amat berduka dengan kehilangan itu.
Sajid Akram, 50, pula maut ditembak polis ketika serangan berkenaan, sementara anaknya, Naveed pula berdepan puluhan pertuduhan jenayah berat termasuk 15 pertuduhan membunuh dan melakukan tindakan keganasan.
Awal bulan ini, satu siasatan menyeluruh turut memulakan prosiding pendengaran awam bagi menyiasat insiden berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




