Tajuk : Boikot Bukan Trend, Tapi Perjuangan : Apakah kita sudah lupa ?

Petaling Jaya: Kezaliman di Palestin jelas di depan mata  rumah dirobohkan, tanah dirampas dan rakyat dipaksa hidup dalam ketakutan. Semua ini bukan sekadar konflik tetapi satu bentuk penindasan penjajahan yang berterusan. Dalam keadaan begini, boikot menjadi salah satu cara yang paling mudah untuk rakyat biasa seperti kita menolak kezaliman. Ia bukan sekadar pilihan pengguna, tetapi tanggungjawab kemanusiaan dan solidariti. Dengan setiap ringgit yang kita cuba alihkan daripada produk yang menyokong musuh, sedikit sebanyak kita sebenarnya sedang berdiri bersama Palestin.

Pertama sekali, apakah benar kita boikot sesuatu benda itu dengan ilmu ? Atau hanya sekadar mengikuti trend sehinggakan memakan diri kita sendiri. Boikot memang kena buat, tapi jangan sampai kita sendiri yang susah. Maksudnya, kalau barang tu memang jelas ada kaitan dengan Musuh maka kita wajib jauhi. Tapi kalau sampai kita tolak semua benda tanpa fikir alternatif akhirnya kita yang tertekan. Islam ajar kita lawan kezaliman dengan cara yang bijak iaitu boikot, tapi jangan sampai kita menzalimi diri sendiri dan keluarga.

Kita kena seimbang iaitu pilih produk yang ada pengganti, gunakan duit kita sebagai pilihan dalam masa yang sama jaga juga keperluan hidup. Bila kita buat macam ni, boikot jadi perjuangan yang berkesan, bukannya beban. Jika boikot dibuat secara membuta tuli maka naratif yang nak dibawa menjadi kosong dan perjuangan itu tidak akan bertahan lama.

Seterusnya, terdapat juga segelintir daripada masyarakat kita memandang ringan isu boikot ini. Kita perlu tahu boikot bukan sekadar “tak beli barang”. Sebenarnya, setiap kali kita tolak produk yang ada kaitan dengan musuh, kita sedang membawa perjuangan iaitu duit kita bukan untuk menaja peluru yang bunuh anak Palestin. Boikot ni senjata paling dekat dengan kita, senjata yang tak perlukan darah, tapi boleh menggoncang ekonomi mereka. Bila kita semua bergerak serentak, kuasa rakyat menjadi tsunami yang susah ditahan.

Kita bukan sekadar pengguna, kita juga boleh menjadi barisan pejuang yang membantu saudara kita di sana. Segelintir masyarakat yang meremehkan isu boikot inilah yang menjadi racun kepada generasi yang akan datang dalam perjuangan palestin. Maka kita sebagai manusia lihatlah isu ini sebagai isu kemanusiaan, sebagai seorang Muslim bawalah isu ini sebagai salah satu jihad bagi kita dan ingatlah perkara baik yang kita lakukan sekarang akan membawa kebaikan juga kepada kita.

Dari sudut pandang akademik, boikot bukan sekadar tindakan emosional, tetapi satu bentuk penolakan moral dan ekonomi terhadap syarikat yang terbukti menyokong musuh. Syarikat-syarikat ini tidak boleh dilihat neutral kerana keuntungan mereka secara langsung atau tidak langsung menjadi sumber kekuatan rejim yang menindas Palestin.

Dari perspektif kajian masyarakat, sokongan berterusan terhadap produk sebegini menunjukkan normalisasi kezaliman dalam ekonomi global. Oleh itu, wujud keperluan untuk kecaman lantang iaitu bukan sekadar di media sosial, tetapi melalui wacana akademik, polisi negara dan tindakan rakyat. Kita mesti menolak legitimasi mereka, kerana setiap transaksi yang berlaku adalah simbol sokongan terhadap penjajahan.

Solidariti rakyat Malaysia terhadap Palestin bukan sekadar slogan, tapi sudah jadi sebahagian daripada identiti kita sebagai bangsa yang pernah dijajah dan tahu rasa ditindas. Dari isu perang sampai ke boikot, kita tunjukkan bahawa suara Malaysia tetap lantang walaupun kita jauh dari Gaza. Dalam kajian masyarakat, tindakan bersama seperti ini dianggap sebagai mobilisasi moral iaitu rakyat bersatu atas dasar kemanusiaan dan agama, lalu menjadikan isu Palestin bukan lagi isu luar tetapi isu kita bersama.

Bila kita berboikot, kita sebenarnya sedang mengikat diri dalam satu perjuangan global, membuktikan bahawa Malaysia bukan penonton, tapi pejuang yang berani. Solidariti ini juga adalah bukti bahawa kita tidak tunduk pada apa jenis penjajahan sekalipun  dan kita sanggup berdiri bersama Palestin dengan cara kita sendiri.

Oleh itu, boikot ini bukanlah benda bermusim dan ikut trend semata-mata . Kalau kita berhenti apabila isu dah reda maka kesannya akan hilang begitu sahaja. Kita perlulah jadikan boikot sebagai kebiasaan dan dinormalisasikan dalam kehidupan, bukannya sekadar reaksi sementara. Dalam bahasa akademik, ini dipanggil resistensi berstruktur iaitu tindakan kecil tetapi konsisten yang akhirnya menjadi gelombang besar. Kita juga janganlah berhenti pada poster atau hashtag, tetapi teruskan dengan tindakan yang nyata iaitu sokong jenama tempatan, sebarkan kesedaran dan ajak orang lain buat sama. Boikot ini bukan trend, ia perjuangan yang mesti kita hidupkan setiap hari.

 

Oleh: Ammar Assyakirin Bin Zamani
Mahasiswa Jabatan Sejarah,Tamadun Islam dan Pendidikan Islam
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
ammatkedah@gmail.com

Scroll to Top