2 anggota polis didakwa atas pertuduhan rasuah

2 anggota polis didakwa atas pertuduhan rasuah

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Dua penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini masing-masing atas tuduhan setuju menerima rasuah dan meminta serta menerima rasuah, tahun lalu.

Tertuduh, Inspektor Ihsan Zaidani Hassan, 43, dan Konstabel Muhammad Jefri Din, 25, kedua-duanya mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman bagi semua pertuduhan yang dihadapkan kepada mereka.

Berdasarkan tiga pertuduhan ke atas Ihsan Zaidani, tertuduh sebagai Ketua Polis Balai Sungai Rengit ketika itu didakwa setuju menerima untuk dirinya wang tunai keseluruhan berjumlah RM8,000 dengan tanpa balasan daripada seorang lelaki berusia 70 tahun melalui seorang lagi lelaki berusia 49 tahun ke akaun bank miliknya.

Tertuduh didakwa dalam pengetahuan bahawa perbuatan itu ada hubungan dengannya sebagai Ketua Polis Balai iaitu untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas perniagaan Thai Traditional Massage.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Maybank Berhad Cawangan Taman Molek dan Taman Pelangi di sini, antara 5 Disember 2024 hingga 17 April 2025, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri yang mewakili tertuduh, memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dan munasabah.

Mohammad Muzammil berkata, anak guamnya kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, penanggung tunggal kepada isteri dan anak-anak yang masih bersekolah.

Manakala, bagi tuduhan pertama untuk Muhammad Jefri, dia didakwa secara rasuah meminta untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM11,000 daripada seorang lelaki berusia 54 tahun sebagai dorongan untuknya yang juga anggota polis di Balai Polis Larkin, IPD Johor Bahru Selatan, untuk tidak mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1992.

Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai keseluruhan sebanyak RM2,505 daripada dua lelaki bagi tujuan yang sama.

Semua tiga perbuatan itu dilakukan di dua lokasi iaitu di tempat letak kenderaan sebuah apartment dan di belakang lorong Jalan Ulu Air Molek di sini, pada 26 Jun 2025.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Ameera D’Aneez Mohd Shukari tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes dihadapi tertuduh tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan jumlah RM10,000 dengan dua syarat tambahan, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

Peguam Mohamed Imran Mohamed Sam yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan alasan tertuduh sebagai anak bongsu daripada lapan beradik dan belum berkahwin itu perlu menanggung ahli keluarga.

“Tertuduh kini bertugas di Balai Polis Mersing dengan gaji RM1,200 sebulan. Dia mempunyai masalah kesihatan, namun masih lagi perlu menanggung neneknya yang uzur, ibunya yang tidak sihat dan kakaknya yang baharu hilang pekerjaan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM7,000 serta tiga syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi, lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 10 Julai dan 3 Julai depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top