Polis terima arahan pertuduhan suspek kurung, liwat remaja

Polis terima arahan pertuduhan suspek kurung, liwat remaja

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis sudah menerima arahan pertuduhan terhadap lelaki yang disyaki mengurung, mendera dan meliwat seorang remaja lelaki dekat Bukit Kemuning, di sini pada 12 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, pertuduhan terhadap bekas banduan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah saya dimaklumkan arahan pertuduhan telah diberikan oleh Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan akan dibuat pertuduhan secepat mungkin.

“Bila dibuat pertuduhan? Kita akan maklum kepada rakan-rakan media,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Media pada Isnin lalu melaporkan, bekas banduan jenayah seksual yang disyaki mengurung, mendera dan meliwat remaja lelaki dekat Bukit Kemuning ditahan di Kuala Lumpur pada 16 Mei lalu.

Lelaki berusia 40-an itu masih dalam tahanan reman yang dijangka tamat pada 23 Mei ini.

Shazeli berkata, bekas banduan yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara 18 tahun pada April tahun lalu, ditahan dalam serbuan di bilik sewanya.

Dalam kejadian pada 12 Mei lalu, polis menerima maklumat kejadian menimpa remaja berusia 14 tahun itu, jam 12 tengah hari apabila diselamatkan jiran selepas kira-kira tiga jam dikurung dalam rumah.

Siasatan awal mendapati suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual sebelum menawarkan satu pakej internet telefon bimbit berserta syarat mangsa membantu mengangkat barang dalam rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top