'Mana mahunya nama asal Wings, Teruna Sekampung' – Awie

'Mana mahunya nama asal Wings, Teruna Sekampung' – Awie

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Apa Joey cakap itu ada betulnya. Kadang-kadang mereka bercerita dan menulis sesuka hati tanpa fakta. Mana mereka dapat (cerita)? Dia curi (fakta) sini sikit, curi sana sikit.”

Begitu kata vokalis legenda tanah air, Datuk Awie mengulas isu pempengaruh menyebar cerita palsu band rock otai seperti dibangkitkan rakan seangkatannya itu.

Awie, 58, memberi contoh kumpulannya sendiri ditulis nama Teruna Sekampung sebelum dikenali sebagai Wings dalam Wikipedia dan ia adalah fakta yang tidak benar.

“Mana mahunya! Aduh. Kadang-kadang dia orang ini mana dia dapat? Dia tak tahu cerita itu daripada mana, dia main sebut sahaja. Saya tak ada nama lain selain daripada Wings.

“Ada dulu pun sebelum kita orang masuk persembahan, kita gunakan nama ‘Crystal Jade’ untuk masuk pertandingan. Saya tak nak pakai nama Wings. Saya masuk pertandingan guna nama Crystal Jade.

“Itu yang saya bagi nama Crystal dekat kumpulan Kristal. Masa itu sekitar 1984 atau 1985. Masa itu kami masuk pertandingan di Bangsar di sebuah tempat bernama Moonraker,” katanya pada sidang media Wings Sunday Night Live di Hard Rock Cafe, di sini, hari ini.

Awie berkata, kakaknya berkahwin pada hari pertandingan dan dia mencuri masa sekejap untuk menyertai pertandingan terbabit.

“Pergi menyanyi dengan tak ada praktisnya dapat nombor dua.

Crystal Jade dapat nombor dua, Alhamdulillah. Lepas itu bila kita dah keluar pergi show, pakai nama Wings.

“Sebab saya tak nak rosakkan nama ini. Kalau kita masuk pertandingan kalau kalah, cakap alamak Wings kalah. Jadi kita letak nama Crystal Jade. Itu pertandingan kita tak tahu siapa handal, siapa tidak.

“Lebih baik play safe. Selepas itu keluar pergi ekspo-ekspo pakai nama Wings,” katanya.

Terdahulu, Joey menasihatkan pengikut industri hiburan agar berhati-hati dengan pempengaruh yang sanggup mereka cerita mengenai band-band lama bertujuan mencari populariti mudah.

Dalam perkembangan berkaitan, Wings akan beraksi dalam showcase eksklusif bertajuk Wings Sunday Night Live bersempena promosi album terbaharu, Wings New Era.

Showcase ini akan berlangsung Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 5 Julai 2026, sebelum diteruskan ke Hard Rock Cafe Melaka pada 12 Julai 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top