Islam tidak benarkan budaya 'membongkar kesalahan'

Islam tidak benarkan budaya 'membongkar kesalahan'

SOALAN

Datuk, akhir-akhir ini kita melihat masyarakat semakin mudah menjatuhkan hukum dan membuka aib orang lain di media sosial atas nama menegakkan agama. Daripada sudut Islam, bagaimana Datuk melihat budaya ini dan apakah batas perlu difahami masyarakat?

JAWAPAN

Terima kasih kepada persoalan yang diutarakan.

Dalam era keterbukaan digital, masyarakat kini mempunyai akses tanpa sempadan untuk menyuarakan pandangan, termasuk dalam hal berkaitan agama. Platform seperti TikTok dan Facebook telah menjadi ruang awam baharu yang membolehkan sesiapa sahaja menilai, mengkritik bahkan ‘menghukum’ orang lain secara terbuka. Fenomena ini sering disandarkan atas nama amar makruf nahi munkar, namun dalam banyak keadaan, ia telah melampaui batas syariah sehingga membawa kepada budaya membuka aib dan menjatuhkan maruah sesama Muslim.

Islam sememangnya menuntut umatnya menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Firman Allah SWT: “Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.” (Surah ali Imran: 104)

Namun, kewajipan amar makruf nahi mungkar ini tidak boleh difahami secara terpisah daripada adab, syarat dan batasan yang telah digariskan oleh syarak. Dalam disiplin fiqh, amar makruf nahi munkar mempunyai garis panduan yang jelas, antaranya dilakukan dengan ilmu, hikmah dan tidak membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.

Salah satu prinsip utama yang sering diabaikan ialah larangan membuka aib sesama Muslim. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di akhirat.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan menjaga maruah dan kehormatan individu adalah tuntutan yang tinggi dalam Islam. Membuka aib secara terbuka, apatah lagi di media sosial yang bersifat kekal dan tersebar luas, boleh membawa kesan jauh lebih besar daripada kesalahan asal yang dilakukan.

Lebih tegas lagi, Allah SWT melarang perbuatan mencela dan mengaibkan orang lain: “Dan janganlah kamu saling mencela dan memanggil dengan gelaran yang buruk.” (Surah al-Hujurat: 11)

Dalam ayat yang sama juga, Allah SWT mengingatkan bahaya sangkaan dan mengintip kesalahan orang lain: “Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.” (Surah al-Hujurat: 12)

Ayat-ayat ini menjadi asas bahawa Islam tidak membenarkan budaya ‘membongkar kesalahan’ sebagai satu bentuk hiburan atau kepuasan sosial.

Daripada sudut maqasid, budaya ini jelas bertentangan dengan prinsip Maqasid Syariah khususnya dalam aspek hifz al-‘ird (memelihara maruah). Apabila maruah individu dipermainkan di ruang awam, ia bukan sahaja memberi kesan psikologi kepada individu tersebut, bahkan boleh merosakkan keharmonian masyarakat secara keseluruhan.

Namun, perlu difahami bahawa terdapat keadaan tertentu di mana pendedahan kesalahan dibenarkan, bahkan diperlukan. Para ulama menyebut beberapa pengecualian, antaranya:

Pertama, dalam konteks menegakkan keadilan seperti kes jenayah atau penipuan yang memerlukan pendedahan untuk melindungi masyarakat.

Kedua, dalam bentuk nasihat atau teguran yang sah, khususnya kepada pihak berautoriti atau melalui saluran yang betul.

Ketiga, dalam keadaan memberi peringatan (tahzir) terhadap individu yang terbukti membawa kemudaratan kepada masyarakat.

Namun, semua ini tertakluk kepada syarat yang ketat: mesti berasaskan fakta yang sahih, niat yang benar serta dilakukan dengan kadar yang minimum tanpa unsur berlebihan atau penghinaan.

Dalam konteks semasa, masalah utama ialah masyarakat sering menghukum tanpa ilmu dan tanpa autoriti. Hal ini selari dengan amaran Nabi SAW: “Apabila seseorang berkata: ‘Manusia telah rosak’, maka dialah yang paling rosak.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini memberi isyarat bahawa sikap mudah menghukum orang lain boleh membawa kepada penyakit hati seperti ujub dan merasa diri lebih baik daripada orang lain.

Selain itu, budaya ‘viral’ juga mempercepatkan penyebaran maklumat tanpa tapisan. Sesuatu isu yang belum pasti kebenarannya boleh tersebar luas dalam masa singkat, lalu mencetuskan fitnah. Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah.” (Surah al-Hujurat: 6)

Ayat ini menegaskan kewajipan tabayyun (verifikasi) sebelum menyebarkan sesuatu maklumat.

Begitu juga sabda nabi yang bermaksud: “Cukuplah seseorang itu dianggap sebagai pendusta/penipu apabila dia menceritakan setiap apa yang didengarinya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini merupakan satu amaran keras daripada Rasulullah SAW mengenai bahaya menyebarkan maklumat tanpa usul periksa.

Seseorang itu dianggap pendusta bukan sahaja apabila dia sengaja mencipta cerita palsu, tetapi juga apabila dia berkongsi semua berita yang sampai kepadanya tanpa menyelidik (tabayyun) kesahihannya terlebih dahulu. Apabila seseorang kerap menyampaikan maklumat yang didengar tanpa tahu ia benar atau salah, kebarangkalian maklumat itu palsu adalah tinggi. Ini menjadikan dia layak dilabel sebagai pendusta. Pemahaman terhadap hadis ini sangat relevan dengan penyebaran maklumat di media sosial, di mana berkongsi berita tanpa verifikasi boleh menyebabkan fitnah dan penyelewengan maklumat. Bersikap dusta atau menipu juga adalah salah satu ciri orang munafiq dan perbuatan ini merupakan suatu kezaliman yang nyata. Hadis ini mendidik kita agar berhati-hati dalam berkongsi maklumat. Pastikan kebenaran sesuatu berita sebelum disebarkan untuk mengelakkan diri daripada tergolong dalam kalangan mereka yang berdusta.

Kesimpulannya, budaya menjatuhkan hukum dan membuka aib di media sosial atas nama agama adalah satu fenomena yang perlu ditangani dengan serius. Islam tidak menolak amar ma’ruf nahi munkar, tetapi ia mesti dilaksanakan dalam kerangka ilmu, hikmah dan rahmah. Batas yang perlu difahami masyarakat ialah:

1. Tidak semua kesalahan perlu didedahkan

2. Menjaga maruah lebih diutamakan daripada mengejar sensasi

3. Menegakkan agama tidak boleh dilakukan dengan cara yang mencemarkan akhlak Islam itu sendiri.

Pendekatan terbaik kembali kepada manhaj yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang menggabungkan ketegasan prinsip dengan kelembutan, pendekatan mendidik bukan menghukum; membimbing bukan mempermalukan.

Penulis Mufti Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top