Nak dapat Haji mabrur, bukan hanya soal rukun dan syarat ibadah tapi…

Nak dapat Haji mabrur, bukan hanya soal rukun dan syarat ibadah tapi…

Makkah: Kejayaan memperoleh haji mabrur tidak hanya bergantung kepada rukun dan syarat ibadah yang sempurna, tetapi turut ditentukan oleh kemampuan jemaah menjaga akhlak serta mengawal emosi ketika berhadapan pelbagai cabaran di Tanah Suci.

Ketua Pakar Rujuk Tabung Haji Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, ibadah haji menjadi medan tarbiah terbesar kepada umat Islam kerana jemaah perlu menghadapi pelbagai cabaran termasuk cuaca panas, kesesakan jutaan manusia dan perubahan rutin harian.

Beliau berkata dalam situasi itu, kemampuan menjaga hubungan sesama manusia antara penentu penting kepada penerimaan ibadah haji.

“Jangan cepat marah dan jangan suka bertengkar. Dalam suasana manusia terlalu ramai dan cuaca panas, emosi mudah terganggu.

“Nabi Muhammad SAW mengajar orang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya ketika marah,” katanya.

Luqman berkata, haji mabrur bukan sekadar berkaitan pelaksanaan rukun dan syarat ibadah, tetapi turut menuntut pembentukan akhlak serta penyucian jiwa.

Beliau berkata, ramai jemaah memberi tumpuan kepada aspek teknikal ibadah, namun kurang menyedari bahawa sikap sabar, bertolak ansur dan menjaga tutur kata juga sebahagian daripada roh haji.

“Haji mabrur ialah haji yang diterima Allah SWT dan dipenuhi dengan perkara kebaikan. Sebab itu, menjaga akhlak sangat penting sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.

Beliau berkata ibadah haji mendidik manusia merendahkan diri apabila semua jemaah hadir dalam keadaan ihram tanpa mengira pangkat, kedudukan atau kekayaan.

“Dalam ihram, manusia meninggalkan segala kemegahan dunia dan datang hanya kerana Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Luqman mengingatkan jemaah supaya memperbanyakkan doa, zikir dan talbiah terutama ketika wukuf di Arafah yang merupakan kemuncak ibadah haji.

Beliau berkata tempoh wukuf perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memohon keampunan.

“Mudah-mudahan jemaah keluar dari Arafah bukan sahaja dengan haji yang sah, tetapi memperoleh haji yang mabrur dan membawa pulang perubahan akhlak yang lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top