Gangguan seksual terhadap murid Darjah 6, KPM serah kepada polis untuk siasatan menyeluruh

Gangguan seksual terhadap murid Darjah 6, KPM serah kepada polis untuk siasatan menyeluruh

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes gangguan seksual melibatkan warga sekolah susulan dakwaan tular membabitkan kes seorang guru dan murid Darjah 6 di sebuah sekolah di Johor.

Serah kepada polis untuk siasatan

Menurut beliau, kes berkenaan kini diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut termasuk siasatan terperinci terhadap dakwaan terbabit.

“Siasatan diserahkan kepada PDRM. Guru direhatkan serta-merta dan siasatan dalaman diteruskan. KPM tidak kompromi kes gangguan seksual,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan individu yang dikaitkan dengan dakwaan itu telah ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“PDRM telah mengambil alih kes ini sepenuhnya. Individu tersebut telah ditahan oleh pihak berkuasa. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula telah melindungi anak ini,” jelasnya.

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM akan meneruskan siasatan dalaman bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut prosedur ditetapkan kementerian.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak berdiam diri dan tampil membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kesalahan seksual, khususnya melibatkan kanak-kanak.

“Masyarakat diseru agar terus tampil ke hadapan untuk melaporkan kes terkait dakwaan kesalahan seksual kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa mesti mengambil tindakan segera menyiasat apabila aduan melibatkan mangsa kanak-kanak,” katanya.
“Ambil tanggungjawab bersama sebagai ahli masyarakat untuk terus mengingatkan tanggungjawab semua pihak bagi melindungi kanak-kanak,” tambahnya lagi.

Artikel lain: Guru tarik nafas lega! KPM mansuh sistem perekodan kokurikulum secara manual

Terdahulu, tular satu pendedahan di media sosial berhubung kejadian gangguan seksual membabitkan seorang guru dan murid perempuan darjah 6 di sebuah sekolah rendah di Masai, tahun lalu.

Bekas guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh, mendakwa guru besar sekolah terbabit membuat laporan polis sebanyak dua kali untuk menggesa Pusat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang mengambil tindakan tegas terhadap guru berusia 28 tahun itu.

Menurutnya, guru terbabit telah dipindahkan sementara ke PPD selama tiga bulan namun dia dibenarkan mengajar semula bermula sesi persekolahan tahun ini.

Sumber: Facebook Fadhlina Sidek

Scroll to Top