
Ratusan pelarian Rohingya bermalam di pejabat agensi itu bagi menuntut jawapan berhubung tindakan berkenaan. Foto: Agensi
JAKARTA – Ratusan pelarian Rohingya dilaporkan bermalam sejak Isnin di hadapan pejabat Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Pekanbaru, Indonesia bagi membantah pengurangan bantuan sara hidup kepada komuniti itu.
Aksi protes tersebut masih berterusan sehingga Rabu pagi dengan sebahagian pelarian memilih tidur di lokasi sebagai tanda bantahan terhadap dasar bantuan yang kini hanya diberikan kepada golongan tertentu.
Mereka dilihat membawa bersama isteri dan anak-anak sambil menunggu penjelasan daripada pihak IOM berhubung tuntutan yang dikemukakan.
Menurut kumpulan pelarian itu, bantuan sara hidup kini hanya disalurkan kepada wanita hamil, kanak-kanak bawah lima tahun dan warga emas.
Mereka mendakwa jumlah bantuan diterima juga terlalu kecil iaitu sekitar 900,000 rupiah (RM201.58) sebulan sehingga menyukarkan kehidupan harian.
Wakil pelarian Rohingya, Ershad berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi membuka mata masyarakat antarabangsa mengenai penderitaan yang dialami komuniti Rohingya di Pekanbaru ketika ini.
“Kami mahu dunia tahu bagaimana penderitaan warga Rohingya di Pekanbaru sekarang. Ramai yang kelaparan dan hanya bergantung kepada bantuan penduduk sekitar,” katanya ketika protes berlangsung.
Menurutnya, ramai pelarian kini berdepan kesukaran mendapatkan keperluan asas selepas bantuan dikurangkan sejak beberapa bulan lalu.
Sebahagian daripada mereka juga terpaksa bergantung kepada ihsan penduduk tempatan untuk meneruskan kehidupan harian.
Situasi dilaporkan mula reda selepas pihak IOM memberi maklum balas dan berjanji untuk bertemu wakil kumpulan pelarian terbabit.
Bagaimanapun, sehingga pagi Rabu, sebahagian besar pelarian masih bertahan di hadapan pejabat organisasi tersebut.
Difahamkan, kira-kira 1,500 pelarian Rohingya kini berada di Pekanbaru dengan sebahagian tinggal di kem pelarian berhampiran kawasan MTQ manakala selebihnya menyewa rumah di sekitar bandar itu. – Agensi



